PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahir rasa dukacita atas pemergian Konduktor Orkestra Tradisional, Mohd Yazid Zakaria yang dilaporkan meninggal dunia pada tengah hari tadi.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai insan seni berjiwa luhur yang telah memberikan sumbangan besar dalam dunia muzik tradisional tanah air.
“Menerima khabar duka mengenai pemergian Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional yang bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN baru-baru ini.
“Sesungguhnya, pemergian ini merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tempatan tatkala Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa,” katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas segala jasa dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara, sambil menyifatkan dedikasinya sebagai sumber inspirasi buat generasi mendatang.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Mohd Yazid yang sedang berdepan ujian berat terutama apabila dimaklumkan bahawa anakanda Allahyarham bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini.
“Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemergian Allahyarham Mohd Yazid merupakan satu kehilangan besar kepada negara terutamanya dalam dunia seni tempatan.
“Menerima khabar duka, pemergian Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional, insan yang bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN baru-baru ini.
“Sesungguhnya, pemergian ini merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tempatan tatkala Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Fahmi juga merakamkan ucapan terima kasih atas jasa yang dicurahkan Mohd Yazid kepada muzik tradisional negara selama ini.
“Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara. Dedikasinya akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi buat generasi mendatang,” katanya.



