China mahu ASEAN kekal bersatu, sedia ganding bahu tolak campur tangan kuasa luar

KUALA LUMPUR – China bersedia untuk terus berganding bahu bersama ASEAN dalam memperkukuh perpaduan serantau dan menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar yang boleh menjejaskan kestabilan rantau ini.

Perdana Menteri China, Li Qiang berkata, ASEAN dan China yang diibaratkan sebagai jiran serta saudara rapat perlu saling bergantung kepada satu sama lain agar mampu mengekalkan keamanan, kestabilan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan di sebalik cabaran global yang semakin kompleks.

Katanya, hanya melalui semangat perpaduan dan kebersamaan, rantau ini dapat mengelak daripada menjadi medan percaturan kuasa besar yang boleh menggugat pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Beberapa negara kini terperangkap dengan campur tangan ketenteraan dan tarif tinggi, menjadikan pembangunan negara berdepan risiko dan cabaran yang lebih besar. Unilateralisme dan proteksionisme memberi kesan serius terhadap sistem perdagangan global.

“Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Xi Jinping ketika lawatan beliau ke Asia Tenggara April lalu, kesatuan adalah kekuatan, dan kerjasama membawa kepada kemenangan bersama,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–China ke-28 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Selasa.

Qiang menegaskan, selaras dengan pesanan Presiden China, Xi Jinping, kebersamaan dan kerjasama merupakan kekuatan utama yang mampu menjamin kemenangan bersama antara kedua-dua pihak.

“Sekiranya China dan negara ASEAN terus menzahirkan kekuatan luar biasa dengan bersatu dan berdikari. Tiada kesukaran yang tidak dapat diatasi.

“Namun sekiranya kita berpecah dan bersengketa dalam menghadapi politik kekuasaan dan penindasan ekonomi, kita bukan sahaja tidak akan memperoleh sebarang manfaat, malah akan mudah dieksploitasi oleh kuasa luar,” katanya.

Sementara itu, Qiang turut menegaskan bahawa hubungan dua hala antara China dan ASEAN kini berada pada tahap paling kukuh, hasil pelbagai inisiatif kerjasama yang membawa manfaat bersama.

Menurutnya, kerjasama pembangunan antara China dan ASEAN kini mencapai satu tahap baharu, terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan hubungan rakyat.

“Pelbagai bidang kerjasama berkembang pesat, dengan skala perdagangan terus meningkat. Pertukaran rakyat melalui Program Pertukaran Seribu Warga ASEAN turut mengukuhkan hubungan kemanusiaan dan kebudayaan.

“Malah, kita baru sahaja menyaksikan pemeterai perjanjian naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN versi 3.0, yang membuka peluang baharu bagi memperkukuh dan menambah baik kerjasama ekonomi serta perdagangan,” katanya.

Li Qiang tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari.

Pesawat khas membawa beliau dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.17 petang dan disambut oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Kehadiran Li Qiang pada sidang kemuncak itu atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau pernah berada di negara ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mei lalu, juga atas undangan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Related Posts

HTF30 kemuka laporan interim hala tuju baharu FELDA kepada PM hujung bulan

KUALA LUMPUR – Laporan interim yang merangkumi hasil kajian dan cadangan penambahbaikan hala tuju strategik Kumpulan FELDA akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada hujung bulan ini.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Taktik licik jual dadah sintetik guna istilah berkod dalam perhatian kerajaan

KUALA LUMPUR – Penjualan dadah sintetik berbahaya dikesan menggunakan istilah berkod dan akaun palsu, bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelak dikesan penyedia platform e-dagang. Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

HTF30 kemuka laporan interim hala tuju baharu FELDA kepada PM hujung bulan

HTF30 kemuka laporan interim hala tuju baharu FELDA kepada PM hujung bulan

Aset RM2.08 juta dirampas, dua lelaki ditahan disyaki seleweng diesel

  • By Fandi
  • September 11, 2026
Aset RM2.08 juta dirampas, dua lelaki ditahan disyaki seleweng diesel

Lelaki dicekup jual nombor loteri haram di tebingan Sungai Roban

Lelaki dicekup jual nombor loteri haram di tebingan Sungai Roban

Taktik licik jual dadah sintetik guna istilah berkod dalam perhatian kerajaan

Taktik licik jual dadah sintetik guna istilah berkod dalam perhatian kerajaan

Keputusan had usia keahlian Puteri UMNO wajar diberi jawapan jelas

Keputusan had usia keahlian Puteri UMNO wajar diberi jawapan jelas

Pakatan Harapan tidak pernah sentuh kuasa pengampunan Agong

Pakatan Harapan tidak pernah sentuh kuasa pengampunan Agong