Casemiro
MANCHESTER United meneruskan kebangkitan di bawah kendalian Ruben Amorim selepas menewaskan Brighton 4-2 di Old Trafford awal pagi tadi.
Matheus Cunha membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi rembatan leret sempurna ke penjuru bawah gawang, gol pertamanya bersama United sejak menyertai kelab itu.
Casemiro menambah jaringan kedua 10 minit kemudian selepas percubaan pemain Brazil itu terkena pertahanan lawan sebelum menerjah jaring, manakala Bryan Mbeumo menambah luka Brighton dengan gol ketiga pada minit ke-61.
Bekas penyerang United, Danny Welbeck kembali menghukum bekas majikannya menerusi sepakan percuma cantik untuk merapatkan kedudukan, sebelum tandukan Charalampos Kostoulas pada masa kecederaan menyalakan harapan kebangkitan pasukan pelawat.
Namun ketika Brighton mula menyerang habis-habisan memburu gol penyamaan, Mbeumo memastikan tiga mata milik United dengan jaringan kedua peribadinya pada hujung permainan.
Kemenangan itu melonjakkan The Red Devils ke tangga keempat liga, manakala Brighton kekal di tangga ke-12.


