
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi bakal mencipta sejarah apabila menyaksikan pemeteraian penyelesaian dua negara berkonflik iaitu Thailand dan Kemboja yang dijangka dimeterai bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelesaian terhadap konflik sempadan yang bakal disaksikan sendiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu adalah lanjutan kepada usaha mengurangkan ketegangan yang sudah dilakukan kedua-dua negara, di mana Malaysia berperanan sebagai negara pendamai.
“Bukan saja pertemuan yang saya pengerusikan sekali, tapi sudah beberapa kali di Malaysia…. di antara ketua-ketua pasukan bersenjata Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur serta menteri-menteri luar Kemboja dan Thailand.
“Baru-baru ini (pertemuan) Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand untuk memeterai syarat terperinci dan sekiranya disepakati dalam satu dua hari ini, pemeteraian ini akan disaksikan oleh saya dan Trump yang turut mendukung penyelesaian ini,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, pertikaian kedua-dua negara itu dibuat secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan kita bantu menyelesaikan pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand
“Seperti yang sedia maklum, perbincangan awal telah diadakan di Kuala Lumpur melibatkan ketua-ketua pasukan bersenjata kedua-dua negara, Menteri Luar Kemboja dan Thailand, serta Menteri Pertahanan Malaysia,” katanya.
Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Kejayaan itu disaksikan sendiri Anwar selaku hos, yang juga Pengerusi ASEAN dan saksi selepas mengadakan Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.
Mesyuarat khas itu dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.





