
KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan semangat kekeluargaan BN kekal utuh menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Sabah.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Kota Kinabalu pada Selasa.
Menurut Bung, pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa serta membincangkan hala tuju BN menjelang PRU17 yang semakin hampir.
“Pertemuan ini memperkukuh komitmen BN untuk kekal sebagai gabungan politik yang matang, tersusun dan berprinsip.
“Walaupun landskap politik Sabah sering berubah dan mencabar, semangat kerjasama antara parti-parti komponen BN kekal utuh berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab bersama terhadap rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Jelasnya, MCA dengan kekuatan di kawasan bandar dan UMNO di kawasan luar bandar sentiasa menjadi tulang belakang kestabilan politik negara.
“Gabungan pengalaman dan keupayaan ini amat penting bagi memastikan Sabah terus maju dalam suasana politik yang stabil, berdaya saing dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, BN Sabah akan terus membuka ruang perbincangan strategik bersama rakan-rakan komponen bagi memastikan pendekatan kita menjelang PRU17 benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kepentingan individu atau kelompok tertentu.
Tambah Bung, kestabilan bukan sekadar slogan ia adalah tanggungjawab dan keikhlasan untuk membina masa depan Sabah yang lebih baik.





