
PAKATAN Harapan (PH) akan mengumumkan senarai penuh calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 awal bulan depan, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, PH menyasarkan untuk meletakkan calon di 23 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Katanya, calon yang bakal diketengahkan membabitkan gabungan muka lama dan baharu, teknokrat dan bekas penjawat awam serta kepimpinan di peringkat cabang.
“Setakat ini, kita dimaklumkan ada 21 hingga 23 kerusi ditawarkan untuk PH, tetapi senarai calon yang dipersetujui akan diumumkan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal November,” katanya, lapor Berita Harian.
Mustapha berkata, jentera PH cukup bersedia dan bersemangat tinggi untuk menggerakkan kempen bagi memenangkan calon parti itu pada PRN berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.



