
PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) disarankan untuk melaksanakan tindakan segera dan berkesan dalam menangani krisis sosial serta keselamatan pelajar susulan tragedi yang berlaku di sekolah.
Exco Majlis Pimpinan Wanita PKR, Karen Kasturi berkata, sebagai Kementerian bertanggungjawab terhadap perlindungan kanak-kanak dan kesejahteraan sosial, KPWKM tidak boleh terus berdiam diri apabila kesejahteraan pelajar semakin tergugat.
“Tragedi melibatkan pelajar bukan semata-mata isu disiplin tetapi mencerminkan tekanan sosial, emosi dan keluarga yang semakin menekan anak-anak hari ini.
“Diam bukan pilihan. KPWKM mesti tampil ke hadapan dengan langkah intervensi psikososial, sokongan trauma dan pemulihan keluarga yang digerakkan segera, bukan hanya selepas tragedi berlaku,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Karen memaklumkan, pendekatan pencegahan berterusan perlu dilaksanakan di semua peringkat sekolah dan komuniti bagi memastikan kesejahteraan pelajar terpelihara.
Katanya, keperluan juga untuk KPWKM memperkasa kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani isu buli, keganasan dan tekanan emosi pelajar secara holistik melalui gabungan pendidikan, kaunseling dan sokongan komuniti.

“Apabila kedua-dua kementerian ini berganding bahu, kita bukan sahaja mencegah tragedi tetapi menyembuh dan membina semula sistem sokongan sosial yang berperikemanusiaan serta berpaksikan empati
“KPWKM perlu memimpin naratif perlindungan anak-anak dan institusi keluarga di Malaysia secara lebih proaktif. Masa depan bangsa bergantung kepada sejauh mana kita berani bertindak hari ini,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Himpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF), pada Rabu memaklumkan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas berhubung isu keselamatan di sekolah susulan insiden seorang pelajar ditikam di sebuah sekolah semalam.
Anwar berkata, langkah itu termasuk meneliti semula pengaruh aplikasi media sosial melalui penggunaan telefon pintar yang dilihat semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar.
Beliau memaklumkan, isu-isu berkaitan sekolah yang semakin membimbangkan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi memastikan kerajaan dapat mengambil langkah tegas dan menyeluruh dalam menangani gejala semakin menular di kalangan pelajar.






