PUTRAJAYA – Persatuan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan mengekalkan kadar minimum bayaran konsultasi (fi) pengamal perubatan swasta yang kali terakhir disemak pada tahun 2006.
Presiden PERDIM, Dr Boi Saidi Abd Razak berkata, kadar fi sebanyak RM10 itu dianggap sebagai ‘tidak setimpal’ dengan beban tugas digalas doktor di klinik swasta ketika ini.
“Walaupun kadar maksimum dinaikkan kepada RM80 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026, namun kita harap kadar minimum dapat dinaikkan sedikit berbanding RM10 seperti diumumkan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, PERDIM menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan peningkatan sebanyak 29.2 peratus berbanding sebelumnya.
“Namun keputusan mengekalkan kadar minimum fi dianggap tidak sejajar dengan beban tugas serta tanggungjawab besar dipikul pengamal perubatan di klinik swasta.
“Perlu diingatkan juga bahawa klinik swasta adalah antara pemegang taruh penting dalam sistem penjagaan kesihatan primer negara,” katanya.
Boi Saidi menjelaskan, kadar minimum fi konsultasi di Indonesia sekitar RM30, manakala di Singapura mencecah RM105.
Justeru, PERDIM menggesa kerajaan menilai semula kadar minimum tersebut, dan mencadangkan agar RM50 dijadikan kadar fi konsultasi minimum yang lebih munasabah.







