
KOTA KINABALU – Saksi kanak-kanak ke-14 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, bahawa dia mengakui pernah mengeluarkan perkataan kesat kepada mangsa disebabkan emosinya dalam keadaan marah, pada malam 15 Julai 2025.
Menurut peguam kepada ibu Zara, Shahlan Jufri, saksi kanak-kanak itu mengakui dirinya marah dan menjerit perkataan kesat dan makian kepada arwah Zara.
Jelas saksi, pada malam tersebut, Zara telah disoal oleh beberapa pelajar senior berhubung tiga kes kecurian yang melibatkan dompet, kad ATM dan wang tunai serta pin bendera Malaysia milik saksi.
Tambahnya, seorang pelajar junior meminta kebenaran untuk melakukan ‘spot check’ terhadap loker dan beg milik Zara sekali gus membenarkan tindakan itu walaupun mengakui ‘spot check’ bukanlah perkara biasa dilakukan di asrama.
“Saksi kemudian dimaklumkan bahawa pin bendera miliknya ditemui dalam beg Zara oleh pelajar junior yang terlibat, namun tidak dapat memastikan sendiri sama ada barangan itu benar-benar dijumpai di situ.
“Saksi memberitahu lagi, beliau membawa pin bendera tersebut ke dorm Zara dan mendapati lima hingga enam orang pelajar berada di dalam bilik bersama Zara.
“Saksi menyoal Zara mengenai pin bendera tersebut dan bukan mengenai kehilangan barangan pelajar lain. Zara bagaimanapun menafikan tuduhan itu.
“Saksi mengakui dirinya marah ketika itu dan menjerit perkataan bodoh dan si*l kepada Zara,” katanya kepada media selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Shahlan berkata, saksi kemudian memanggil seorang lagi pelajar senior untuk bersama-sama menyoal Zara.
Kata saksi, kira-kira lima pelajar berada dalam dorm dan bertanyakan soalan secara bergilir-gilir kepada Zara, termasuk mengenai kehilangan beberapa barang.
“Saksi hanya menyoal tentang pin benderanya dan sekali lagi menjerit perkataan yang sama.
“Selepas sesi soal jawab yang dikatakan tidak sampai satu jam, mereka meninggalkan bilik dorm tersebut.
“Tidak lama kemudian, saksi yang berada di biliknya melihat Zara masuk ke dorm dan berbaring di lantai sebelum dilihat keluar dari bilik asrama kira-kira pukul 12.30 pagi, namun tidak mengetahui arah yang dituju,” jelasnya.
Sementara itu, saksi turut dimaklumkan oleh beberapa pelajar junior bahawa Zara dilihat menangis di tandas aras sama.
“Saksi sendiri menjenguk ke dalam tandas ketika dalam perjalanan ke dorm lain untuk tidur,” katanya.
Menurutnya lagi, dia dikejutkan sekitar pukul 4 pagi kerana cikgu ingin berjumpa dengannya di aras bawah.
“Pada subuh tersebut, keadaan aras tiga asrama kecoh,” kata keterangan saksi.







