
SANDAKAN – DAP Sabah menghormati keputusan Datuk Frankie Poon dan Liau Fui Fui untuk meninggalkan parti bersama cawangan masing-masing, kata Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe.
Beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas jasa dan sumbangan kedua-dua bekas pemimpin itu sepanjang bersama DAP serta terhadap rakyat Sabah.
“Kami mengucapkan terima kasih atas khidmat dan dedikasi mereka kepada parti dan masyarakat.
“DAP Sabah mendoakan kejayaan mereka dalam perjalanan masa depan,” katanya.
Phoong berkata, DAP Sabah kini akan terus memberi tumpuan kepada usaha berkhidmat untuk rakyat Sandakan serta membawa pembangunan positif kepada komuniti setempat.
Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Setiausaha DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, dalam memperkukuh jentera parti di kawasan itu.
“Saya dan pasukan bersama kepimpinan baharu DAP Sabah akan terus bekerja dengan jujur, rendah hati dan komited demi memperjuangkan Sabah yang lebih baik untuk semua rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, DAP Sabah kini bersedia membuka lembaran baharu yang membawa harapan, ketabahan dan perpaduan kepada seluruh rakyat negeri Sabah.
Terdahulu, memetik laporan Berita Harian, bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, mengumumkan keluar parti bersama dua cawangan pada Sabtu.
Frankie yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai pelbagai perkembangan dalaman parti, selain mendakwa wujud tindakan kepimpinan tertentu yang menunjukkan agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan sedia ada di kawasan berkenaan.

Turut meninggalkan parti ialah bekas Setiausaha Organisasi DAP Sabah, Liau Fui Fui.
“Kami melihat dengan jelas tindakan tersirat kepimpinan tertentu yang menunjukkan wujudnya agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan sedia ada tanpa sebarang rundingan rasmi.
“Keputusan ini (keluar parti) bukan mudah. Selama beberapa tahun kami berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan parti.
“Apabila prinsip kejujuran, saling menghormati dan perjuangan bersama tidak lagi dihargai, maka kami mengambil langkah ini dengan hati yang teguh,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Frankie memenangi kerusi DUN Tanjung Papat dengan majoriti 1,816 undi, menewaskan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
Ogos lalu, beliau mengumumkan hasrat untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) atas permintaan rakyat dan penyokong.
Frankie berkata, hala tuju DAP Sabah kini lebih tertumpu kepada kelompok muda untuk mengetuai parti, manakala peranan pemimpin veteran diabaikan.
“Walaupun keputusan ini pahit, kami melakukannya demi mempertahankan prinsip perjuangan dan kepercayaan rakyat.
“Perkhidmatan kami kepada rakyat tidak akan terhenti di sini, sebaliknya kami akan terus berjuang dengan ikhlas, lebih komited dan berani,” ujarnya.


