10 inisiatif Sabah iltizam Kerajaan MADANI perkukuh insfrastruktur, tingkat kualiti hidup rakyat

KOTA KINABALU – Sebanyak 10 inisiatif utama yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 mencerminkan keazaman Kerajaan MADANI untuk memperkukuh infrastruktur asas, memperbaiki kualiti hidup rakyat serta membina daya tahan negeri dalam menghadapi cabaran bencana alam di Sabah.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, beliau amat menghargai perhatian khusus yang diberikan Anwar terhadap isu-isu pembangunan luar bandar dan pedalaman khususnya dalam memastikan akses jalan raya, air bersih dan elektrik dinikmati secara menyeluruh.

“Meskipun Sabah merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, negeri ini masih berdepan cabaran dari segi jurang pembangunan infrastruktur asas terutamanya melibatkan rangkaian jalan raya, sistem bekalan air dan elektrik serta kesiapsiagaan menghadapi bencana.

“Dengan pelaksanaan yang telus dan efisien, Belanjawan 2026 diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi Sabah dan pengukuhan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu menyifatkan Belanjawan 2026 memberi jaminan bahawa Sabah akan terus menjadi keutamaan dalam pengagihan peruntukan pembangunan negara seiring dengan tekad Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kemajuan dan kemudahan asas setara dengan negeri-negeri lain.

10 inisiatif penting yang akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Sabah adalah peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026 iaitu RM6.9 bilion sekali gus menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“RM1 bilion diperuntukkan bagi projek air di Sabah termasuk pemasangan paip baharu di Tawau dan penggantian paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, meskipun pengurusan air adalah di bawah tanggungan Kerajaan Negeri.

“RM1.2 bilion disediakan bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik walaupun kawal selia tenaga telah diserah kepada kerajaan negeri dengan tambahan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran Southern Link untuk memastikan sistem penghantaran elektrik yang lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya.

Seterusnya RM1.67 bilion bagi melaksanakan Pan Borneo Sabah mengikut jadual, RM39 juta bagi Projek Tebatan Banjir Fasa Kedua, RM220 juta untuk IPG Kampus Gaya yang rosak akibat kejadian tanah runtuh dan RM2.3 bilion untuk pembangunan lapangan terbang termasuk Kota Kinabalu dan Tawau.

“RM80 juta peruntukan bagi penjenamaan semula Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) sebagai Pusat Jantung Sabah selain Klinik Kesihatan baharu turut akan dibina di Nabawan.

“Hampir 2 bilion ringgit disediakan bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif khususnya di Sabah Sarawak serta tiga sekolah baharu akan dibina di Sabah termasuk SK Sri Apas Jaya, Tawau; SK Sabandar, Tuaran dan SK Alam Mesra, Kota Kinabalu,” kata beliau.

Tambahnya, kerajaan menyokong kegiatan ekonomi di sempadan negara dengan menambah baik prasarana asas antaranya membina jalan baharu Kalabakan, Sabah ke Simanggaris, Indonesia sepanjang 28 kilometer.

“Bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh pengoperasian pada Jun 2026 akan digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu,” ujarnya.

Related Posts

Paip pecah, laluan Pujut Corner ke Bulatan GK ditutup sementara

MIRI – Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengelakkan sementara penggunaan laluan dari Pujut Corner ke Bulatan GK berikutan insiden paip air pecah yang menyebabkan keadaan jalan tidak selamat untuk dilalui.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pencari lokan berjaya keluar dari hutan, operasi SAR ditamatkan

DARO – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari lokan di kawasan Sungai Penuai dekat sini sejak semalam ditemui selamat pagi ini. Mangsa, Mohammad Senawi Gamat, 29, dilaporkan berjaya keluar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Paip pecah, laluan Pujut Corner ke Bulatan GK ditutup sementara

Paip pecah, laluan Pujut Corner ke Bulatan GK ditutup sementara

Bersatu automatik gugur daripada PN – Hadi Awang

Bersatu automatik gugur daripada PN – Hadi Awang

Pencari lokan berjaya keluar dari hutan, operasi SAR ditamatkan

Pencari lokan berjaya keluar dari hutan, operasi SAR ditamatkan

Pendakwaan Ismail Sabri ditangguh ke 27 Ogos, masih dirawat di IJN

Pendakwaan Ismail Sabri ditangguh ke 27 Ogos, masih dirawat di IJN

Bekas Ketua Hakim Negara meninggal dunia

Bekas Ketua Hakim Negara meninggal dunia

Ismail Sabri masih dirawat di IJN, pendakwaan dijangka diteruskan hari ini

Ismail Sabri masih dirawat di IJN, pendakwaan dijangka diteruskan hari ini