
KUALA LUMPUR – Peruntukan dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dinaikkan kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion sebelum inI, bagi membolehkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang itu dapat dilahirkan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis TVET Negara juga dapat memperkukuhkan ekosistem dalam latihan berkenaan dengan lebih menyeluruh, termasuk cadangan penggubalan Rang Undang-Undang TVET.
Selain itu, beliau memaklumkan, jumlah perbelanjaan itu juga dapat meningkatkan peluang pendidikan dan latihan TVET khususnya dalam menyokong sektor berkeutamaan tinggi.
“Majlis TVET Negara menerima 45 juta ringgit antaranya bagi menerapkan ilmu teknologi digital dan AI kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok melalui Program IPT@Komuniti. Institusi TVET KPM disediakan RM1.3 bilion untuk mendidik 79,000 orang penuntut TVET.
“Kemudahan institusi TVET turut dinaik taraf. Umpamanya, membina hangar baharu di ADTEC Shah Alam untuk penyelenggaraan kapal terbang dan membina Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di UMT untuk bidang maritim dalam menyokong pembangunan ekonomi biru. Di samping itu, sebuah Kolej Vokasional baharu akan dibangunkan di Sabah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, HRD Corp dengan dana RM3 bilion menawarkan 3 juta peluang latihan terutamanya bagi sektor teknologi tinggi, digital dan peralihan tenaga.
Menurut beliau, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan pembiayaan 650 juta ringgit untuk manfaat lebih 25,000 pelatih terutamanya bidang NIMP seperti AI, EV dan semikonduktor.
“Jabatan Pembangunan Kemahiran melalui Program Akademi Dalam Industri melatih dan menyediakan peluang kerjaya bagi mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah dengan peruntukan RM34 juta.
“GiatMARA menawarkan latihan kepada lebih 13,000 golongan tumpuan termasuk pekerja gig. Kolej Komuniti menyediakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk komuniti rentan seperti OKU, warga emas, ibu tunggal dan Orang Asli,” katanya.


