Belanjawan 2026 perlu jadi titik permulaan transformasi struktural keluar perangkap pendapatan sederhana

PUTRAJAYA – Agenda meningkatkan siling ekonomi perlu menjadi teras Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini bagi membawa Malaysia ke tahap ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi dan teknologi.

Penganalisis ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Abu Sufian Abu Bakar berkata, pendekatan itu penting untuk memecahkan batasan struktur ekonomi sedia ada, di samping melonjakkan produktiviti negara ke tahap lebih tinggi.

Menurut beliau, meningkatkan siling ekonomi merujuk kepada usaha membina kapasiti baharu dalam sektor bernilai tinggi, meningkatkan produktiviti buruh serta meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global yang semakin kompleks.

“Transformasi ini bukan sekadar mengejar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, tetapi mengutamakan kualiti pertumbuhan melalui peningkatan nilai tambah, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan ekosistem inovasi mampan.

“Malaysia menyasarkan untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dengan membina ekonomi berasaskan pengetahuan yang mampu bersaing dengan negara maju.

“Pendekatan terbabit memerlukan perubahan fundamental dalam struktur industri, sistem pendidikan, infrastruktur teknologi dan kerangka dasar yang menyokong inovasi serta keusahawanan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abu Sufian berkata, usaha kerajaan menaikkan siling ekonomi mula membuahkan hasil apabila Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2025 dengan menduduki tempat ke-23 daripada 69 ekonomi yang merupakan pencapaian terbaik direkodkan sejak 2020.

“Momentum pelaburan juga semakin kukuh apabila jumlah pelaburan diluluskan mencecah RM384.4 bilion pada 2024, meningkat daripada RM329.5 bilion pada tahun sebelumnya. Pada suku pertama 2025 sahaja, pelaburan yang diluluskan meningkat 3.7 peratus kepada RM89.8 bilion.

“Sektor Pertumbuhan Tinggi Bernilai Tinggi (HGHV) menunjukkan pencapaian konkrit dengan nilai tambah output pembuatan berkembang 4.1 peratus pada suku pertama 2025 kepada RM95.7 bilion, menjana 50,000 pekerjaan daripada pelaburan direalisasikan.

Kata Abu Sufian, Strategi Semikonduktor Negara (NSS) turut berjaya menarik pelaburan bernilai RM52 bilion dengan potensi 23,000 peluang pekerjaan, manakala Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menjanjikan pelaburan RM60 bilion serta 84,000 peluang kerja baharu.

Beliau berpendapat, Belanjawan 2026 perlu memberi tumpuan kepada sektor strategik seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga boleh baharu serta perkhidmatan berasaskan AI sebagai enjin pertumbuhan baharu negara.

“Pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi tulang belakang kepada transformasi ekonomi. Justeru, reformasi menyeluruh sistem pendidikan dan TVET perlu digerakkan bagi melahirkan tenaga kerja berpengetahuan tinggi serta relevan dengan keperluan industri baharu.

“Komitmen 34 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan gaji sara hidup minimum RM3,100 kepada 153,000 pekerja menjadi model untuk sektor swasta dalam meningkatkan kualiti pekerjaan.

“Infrastruktur fizikal dan digital canggih menjadi tulang belakang ekonomi moden, justeru kerajaan melaksanakan projek transformatif meningkatkan kebolehsambungan dan kecekapan,” katanya.

Sementara itu, Abu Sufian berkata, projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sambungan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor–Singapura turut dijangka mengubah landskap logistik atau perdagangan serantau di samping teknologi 5G mahupun pembangunan infrastruktur digital turut menjadi pemangkin utama kepada penggunaan aplikasi Industri 4.0 secara meluas dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan.

“Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi model integrasi ekonomi strategik untuk menarik pelaburan premium dan teknologi canggih.
Pelaburan dalam infrastruktur tenaga hijau seperti loji solar dan sistem storan tenaga menyokong agenda peralihan tenaga selain wujudkan peluang ekonomi baharu.

“Program pendigitalan sektor awam melalui aplikasi seperti MyVisa 2.0 dan MyJPJ mengurangkan kos transaksi serta meningkatkan kecekapan perniagaan selain ada perlunya bangunkan pusat data dan kemudahan awan computing dalam memposisikan Malaysia sebagai hab teknologi maklumat serantau yang menarik syarikat teknologi global” katanya.

Beliau turut menyarankan untuk dibangunkan kluster industri khusus di lokasi strategik seperti Pulau Pinang, Kulim dan Johor bagi mengintegrasikan penyelidikan, pembuatan dan pengkomersialan secara menyeluruh.

Abu Sufian yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, UUM berkata, konsep ‘Triple Helix’ menghubungkan universiti, industri dan kerajaan boleh diperkasa melalui pembangunan taman teknologi serta inkubator inovasi di lokasi strategik.

“Diversifikasi pasaran eksport juga penting bagi mengurangkan pergantungan kepada pasaran tradisional. Malaysia perlu memperkukuh penembusan ke pasaran Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah serta memperluas perjanjian perdagangan bebas baharu.

“Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu dengan blok ekonomi berkembang boleh membuka akses untuk produk Malaysia, terutama dalam sektor teknologi hijau dan produk halal,” katanya.

Related Posts

Keputusan Loke bukti kepimpinan melangkaui kedudukan – Chan Foong Hin

KOTA KINABALU – Keputusan Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan disifatkan sebagai langkah sukar yang mencerminkan kepimpinan berteraskan prinsip tanpa mengabaikan kepentingan pentadbiran kerajaan. Pengarah Dasar Kebangsaan DAP,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tahanan rumah Najib: Undang-undang bukan payung selepas hujan – Mahfuz

KERAJAAN perlu menjelaskan dengan tuntas apakah peruntukan undang-undang yang menjadi sandaran untuk melaksanakan keputusan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak. Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, persoalan itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Keputusan Loke bukti kepimpinan melangkaui kedudukan – Chan Foong Hin

  • By Ezmie
  • September 21, 2026
Keputusan Loke bukti kepimpinan melangkaui kedudukan – Chan Foong Hin

Penganggur didakwa bunuh isteri kerana cemburu

Penganggur didakwa bunuh isteri kerana cemburu

Tahanan rumah Najib: Undang-undang bukan payung selepas hujan – Mahfuz

Tahanan rumah Najib: Undang-undang bukan payung selepas hujan – Mahfuz

Lebih 980,000 pokok ditanam di SPnCA sejak 2003

  • By Fandi
  • September 21, 2026
Lebih 980,000 pokok ditanam di SPnCA sejak 2003

Kempen vaskular tingkat kesedaran, kesihatan Sabah turut dibawa dalam MA63

Kempen vaskular tingkat kesedaran, kesihatan Sabah turut dibawa dalam MA63