ASTON Villa cemerlang apabila menundukkan Feyenoord 2-0 pada aksi peringkat kumpulan Liga Europa awal pagi tadi, namun Nottingham Forest serta dua kelab Scotland, Rangers dan Celtic kecundang.
Emiliano Buendia membuka tirai jaringan dengan rembatan lencong dari jarak 20 meter sebelum John McGinn menambah gol kedua, sekali gus mengulangi sejarah manis Villa di Rotterdam, venue kejayaan mereka menjulang Piala Eropah 1982.
Selepas gagal menang dalam enam perlawanan awal musim ini, skuad kendalian Unai Emery kini meraih tiga kemenangan berturut-turut dan antara tujuh pasukan mengutip enam mata maksimum dalam Liga Europa.
Penjaga gol Marco Bizot, yang dimasukkan pada saat akhir menggantikan Emiliano Martinez yang mengalami kecederaan betis, muncul wira dengan aksi tangkas di gawang.
“Ia memang sukar pada awal musim, tetapi kami tidak pernah hilang keyakinan dan harapan.
“Semangat kami masih ada, walaupun permulaan tidak begitu baik. Sekarang, harapnya kami boleh teruskan rentak ini,” kata Bizot kepada TNT Sports.
Sementara itu, Nottingham Forest kecewa di City Ground apabila tunduk 2-3 kepada kelab Denmark, Midtjylland gara-gara kelemahan bertahan ketika situasi bola mati.
Ousmane Diao dan Mads Bech menjaringkan gol buat pelawat, manakala Dan Ndoye turut menemui sasaran.
Valdemar Andreasen meledak gol penentu dua minit sebelum tamat, meskipun Chris Wood berjaya mengurangkan jurang menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.








