
KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan sebanyak RM55.2 juta bagi menambah baik kemudahan sekolah agama di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) demi memastikan suasana pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan berdaya saing.
Peruntukan itu merangkumi pembinaan padang sukan dengan trek lengkap, 24 unit kuarters guru serta pemasangan pagar keselamatan di kawasan tanah MIS termasuk sekolah baharu yang dirasmikan di Kuching, hari ini.
Abang Johari berkata, langkah tersebut diambil selepas menerima laporan berhubung kehadiran buaya berhampiran sekolah.
Katanya, aspek keselamatan pelajar perlu diberi keutamaan di samping menyediakan kemudahan sokongan untuk warga sekolah.
“Kerajaan Sarawak akan membina pagar bagi melindungi keselamatan pelajar. Kita juga sediakan padang dan kuarters guru supaya suasana pembelajaran lebih kondusif,” katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Rendah Agama MIS No.2 Kuching.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendidikan agama di bawah MIS akan terus diperluas kerana modelnya terbukti mendapat sambutan baik masyarakat.
Menurutnya, sistem ini berjaya menggabungkan sukatan kebangsaan dengan asas agama secara menyeluruh, sekali gus melahirkan pelajar yang bukan sahaja berakhlak, tetapi juga menguasai bidang moden.
“Anak-anak Sarawak mesti mempunyai asas agama yang kukuh, tetapi pada masa sama mereka perlu menguasai sains dan teknologi. Dengan pendekatan ini, kita mampu melahirkan tokoh Islam moden yang relevan dengan cabaran dunia hari ini,” jelasnya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua MIS, Datu Misnu Taha.




