KUANTAN – Seminar Aspirasi Pahang 1st membabitkan pelajar tingkatan enam yang diadakan hari ini, adalah julung kali dianjurkan kerajaan Pahang.
Menerusi inisiatif Akademi Pahang First, seramai kira-kira 800 pelajar tingkatan enam dari empat daerah menghadiri seminar tiga hari yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia adalah antara usaha Kerajaan Negeri untuk melahirkan anak-anak Pahang yang cemerlang dalam akademik, khususnya peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Selain itu, ia juga bertujuan memupuk sahsiah dan jati diri mereka.
“Alhamdulillah melihat kepada semangat dan keupayaan mereka, Tok Wan nampak, Insya-Allah… kita akan mencipta lagi satu sejarah untuk pelajar-pelajar tingkatan enam ini mendapat keputusan yang baik.
“Dan bagi Kerajaan Negeri, kita akan beri sokongan sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam.
Wan Rosdy menjelaskan, aspek pendidikan adalah antara teras aspirasi Pahang 1st selain institusi raja, agama dan warisan serta lonjakan ekonomi.
Justeru, program di bawah inisiatif Akademi Pahang 1st itu akan diteruskan ke setiap daerah di seluruh negeri.




