
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam melahirkan graduan yang seimbang dan berdaya saing apabila lebih 5,000 pelajar baharu yang melafazkan ikrar dan aku janji sempena Minggu Suai Mesra (MSM) Sesi 2025/2026, pada Selasa.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, matlamat utama UMS adalah untuk membentuk pelajar holistik yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan sosial.
“Mahasiswa juga perlu sentiasa mematuhi segala peraturan universiti serta menjadi warga berdisiplin dan berkualiti di mana setiap tugasan, projek dan amanah yang diberi mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
“Mahasiswa turut berperanan dalam meninggikan martabat universiti dan berbakti kepada masyarakat serta negara,” katanya ketika berucap semasa Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena MSM sesi 2025/2026 (Kali ke-31), di Dewan Canselor UMS, di sini pada Selasa.

Kasim turut mengingatkan bahawa kehadiran para pelajar di UMS merupakan satu amanah besar daripada keluarga dan negara, serta menekankan bahawa mereka membawa bersama nama baik keluarga dan maruah bangsa.
“Saya berdiri di hadapan anda bukan sekadar sebagai seorang Naib Canselor tetapi juga sebagai seorang bapa yang ingin melihat anak-anaknya berjaya.
“Kehadiran anda di sini adalah amanah daripada ibu bapa, keluarga dan juga negara.
“UMS akan menjadi rumah kedua anda. Di sinilah tempat anda belajar, membesar, gagal serta bangkit semula dan akhirnya berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa lafaz ikrar dan aku janji bukan sekadar bacaan, sebaliknya adalah ‘janji suci’ dan ‘panduan hidup’ sepanjang bergelar mahasiswa.
Jelasnya, pelajar perlu mengekalkan disiplin dan integriti sepanjang pengajian mereka.
“Ketahuilah di sebalik ikrar dan aku janji yang dibacakan itu, bersamanya digalas tanggungjawab yang sangat besar,” ujarnya.
Tambahnya, pelajar perlu menggunakan masa di universiti untuk membentuk sahsiah dan jati diri, dengan menyertai pelbagai aktiviti persatuan, sukan, kebudayaan dan kerja sukarela.
“Gunakan masa anda di sini bukan sahaja untuk mengejar segulung ijazah tetapi untuk membentuk peribadi dan sahsiah jati diri,” katanya.








