KUANTAN – Kerajaan Pahang berpuas hati dengan kelancaran pelaksanaan Subsidi Petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di negeri ini selepas inisiatif itu dilaksanakan sepenuhnya hari ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, pihaknya tidak menerima aduan atau laporan gangguan dari 275 stesen minyak yang beroperasi di negeri ini.
Katanya, semua sistem di terminal dan pam berfungsi dengan baik sekali gus membantu pengguna mengisi petrol bersubsidi tanpa masalah.
“Cuma ada beberapa isu atau rungutan ditimbulkan pengguna terutama berkaitan kerisauan menggunakan MyKad untuk mengisi minyak.
“Pada masa sama, pengguna juga mungkin masih keliru memandangkan setiap stesen minyak jenama tertentu mungkin sistem digunakan agak berbeza,” katanya ketika ditemui Program Pemantauan Pelaksanaan BUDI95 di stesen minyak sekitar Kuantan.
Chon Siang berkata, hasil pemantauan dilakukan, beliau mendapati ada pengguna gagal mengisi petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter disebabkan beberapa masalah.
“Ada yang tertinggal MyKad, cip rosak dan ada yang membayar tanpa kemukakan dokumen pengenalan diri itu terlebih dahulu menyebabkan harga tanpa subsidi dikenakan iaitu RM2.60,” jelasnya m
Justeru itu katanya, Kerajaan Negeri meminta kerjasama pihak stesen minyak supaya menempatkan pekerja di pam bagi membantu pengguna supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.



