KUANTAN – Seiring dengan usia penubuhan 65 tahun lalu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) terus memantapkan lagi fungsinya.
Tidak hanya memfokuskan kepada kerja dakwah kepada golongan saudara baru atau mualaf, PERKIM juga bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan lain.
Sebagai contoh, pihak PERKIM turut melakukan banyak kunjungan ke pusat jagaan warga emas menempatkan pelbagai bangsa dan agama.
Menerusi program kunjungan itu, Pasukan Dakwah PERKIM diketuai Pegawai Eksekutif Dakwah, Sulaiman Ding Yu Zhong berpeluang menyantuni warga emas dan berkongsi maklumat mengenai peranan mereka.
“Kita berkunjung ke rumah kebajikan atau pusat jagaan warga emas bagi merapatkan ukhwah dan saling kenal-mengenali.
“Setiap kunjungan dibuat pihak PERKIM adalah untuk bersama dengan semua penghuni di rumah kebajikan atau pusat jagaan, tidak kiralah mereka beragama Islam atau bukan,” jelasnya.
![]()
Sulaiman berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Pasukan Dakwah PERKIM melawat Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat Triang, Bera.
Rombongan daripada PERKIM itu disertai Eksekutif Dakwah PERKIM, Farhan Tee Abdullah dan Pengerusi PERKIM Daerah Bera, Juhari Abdul Kadir.
Turut serta Pegawai Diberi Kuasa Pusat Jagaan Daerah Bera, Samsi Tukiman dan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Bera, Azhar Ahmad.
Dalam pada itu, Sulaiman memaklumkan, pihaknya amat tersentuh dengan usaha dilakukan pihak pengurusan Sang Riang menyediakan perkhidmatan jagaan yang sangat bagus kepada penghuni pusat jagaan itu.
“Ia adalah perkara yang sangat menarik dan saya memuji pendekatan dilakukan pihak Sang Riang dalam memastikan setiap penghuni yang terdiri daripada pelbagai latar agama boleh hidup penuh harmoni di sini,” katanya.
![]()
Kehadiran rombongan daripada PERKIM itu disambut Pengerusi Sang Riang, Datuk Yap Yoke Moey dan pihak pengurusan pusat jagaan itu.
Mereka turut berpeluang beramah mesra dan menjamu selera dengan penghuni berbangsa Cina di situ.
Sulaiman mengakui suasana di Sang Riang sangat unik dan sukar ditemui di pusat jagaan lain di negara ini.
“Kami sempat bersarapan dan makan tengah hari bersama penghuni berbangsa Cina… suasana kemesraan seperti ini sangat berharga dan jarang ditemui.
“Saya sendiri teruja melihat bagaimana rumah (kebajikan) ini mampu menyediakan tempat tinggal percuma kepada ratusan warga emas dalam suasana bersih, terurus dan penuh kasih sayang,” ujarnya.
Yoke Moey memaklumkan, segala kemudahan di Sang Riang adalah mengikut keperluan 485 penghuni yang ditempatkan di situ.
“Semua kemudahan untuk mereka beribadat mengikut pegangan agama masing-masing disediakan di sini.
“Kita juga menyediakan kelas agama kepada penghuni beragama Islam dan aspek kesihatan penghuni juga sentiasa kita pantau.
“Ini semua dapat kami sediakan menerusi bantuan pelbagai pihak, termasuk dari Hospital Bera yang sentiasa bersama kami,” katanya.
Beliau berharap pihak PERKIM dapat melantik seorang ustaz bagi memberi kuliah kepada penghuni beragama Islam setiap hari Jumaat di Sang Riang.
“Perkara ini ada saya bincang secara ringkas dengan ustaz Juhari dan beliau bersetuju untuk mencari seorang ustaz berkelayakan bagi tujuan itu.
“Jadi, saya fikir perkara ini boleh dianggap sudah selesai… saya memang berterima kasih kepada PERKIM dan semua yang sudi singgah ke rumah kebajikan kami,” katanya.






