Undang-undang rogol ‘suka sama suka’ wajar dinilai semula, hukuman perlu setimpal

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan kerajaan meneliti semula undang-undang berkaitan jenayah rogol bawah umur ‘suka sama suka’, berikutan hukuman sedia ada bersifat berat sebelah yang hanya mengenakan hukuman terhadap kaum lelaki sahaja.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, pihak kerajaan berhak untuk meneliti semula undang-undang berkaitan jenayah seksual tersebut dengan melaksana hukuman lebih setimpal perlu dikenakan kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau berpandangan, pelepasan daripada sebarang hukuman tidak akan menyelesaikan masalah, malah sebaliknya membuka ruang kepada perlakuan jenayah lain pada masa hadapan.

“Jenayah rogol bawah umur suka sama suka kini merupakan isu sosial serius dan semakin membimbangkan di Malaysia. Berdasarkan data dilaporkan, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak meningkat daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada tahun 2024, satu peningkatan sebanyak 53.2 peratus.

“Jumlah mangsa juga meningkat dari 2,561 orang kepada 3,988 orang dalam tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 55.7 peratus. Peningkatan itu membimbangkan, terutamanya apabila melibatkan hubungan konsensual antara remaja bawah umur yang seringkali bermula daripada fenomena “grooming” melalui media sosial,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz berkata, walaupun undang-undang menganggap persetubuhan dengan individu di bawah umur 16 tahun sebagai rogol, tanpa mengira persetujuan, ia menimbulkan persoalan dari sudut keadilan dan keberkesanan undang-undang kerana pihak wanita yang turut bersetuju tidak dikenakan hukuman.

Menurutnya, situasi terbabit seolah-olah memberikan gambaran bahawa undang-undang bersifat berat sebelah kerana hanya menghukum satu pihak sahaja walaupun kedua-duanya bersalah secara moral.

“Itu tidak menyelesaikan permasalahan yang dihadapi kerana jenayah rogol atau hubungan kelamin antara pasangan bukan mahram sama ada secara rela atau tidak, jelas bertentangan dengan syariat Islam.

“Justeru, ia menuntut penelitian semula terhadap undang-undang berkaitan jenayah rogol bawah umur suka sama suka sebagai salah satu agenda islah (pembaharuan) dan reformasi perundangan negara,” katanya.

Pada asasnya, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang rogol terhadap kaum lelaki yang disabitkan melakukan jenayah tersebut adalah wajar menurut Islam, berikutan kedudukan lelaki dalam Islam adalah sebagai pemimpin dan pelindung kepada wanita namun bukan bermaksud undang-undang Islam tidak adil.

“Sebagai contoh, jika seorang wanita disabitkan kesalahan berzina, maka dia tetap akan dihukum. Dalam konteks rogol bawah umur suka sama suka, walaupun undang-undang sivil beri perlindungan kepada mangsa wanita, ia tidak seharusnya melepaskan mereka daripada tanggungjawab moral dan hukuman jika mereka turut menyumbang kepada perlakuan jenayah.

“Hukuman yang adil dan setimpal ke atas kedua-dua pihak yang bersalah akan memberikan pengajaran dan pendidikan yang lebih efektif.Bahkan, pelepasan kelompok tertentu daripada sebarang hukuman boleh menggalakkan perlakuan jenayah yang sama pada masa akan datang.

“Ia juga menafikan realiti bahawa dalam banyak kes, kedua-dua pihak terlibat secara sedar dan rela, walau salah seorang daripadanya bawah umur. Justeru, hukuman kedua-dua pihak akan menegaskan bahawa jenayah bukan isu melibatkan jantina tertentu, tetapi ia adalah isu moral dan perundangan melibatkan sesiapa sahaja yang melanggar peraturan serta undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Fauwaz berpendapat, pihak berkuasa berhak untuk mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap lelaki yang berzina dengan perempuan bawah umur secara rela.

Menurutnya, ini kerana perempuan di bawah umur masih belum mencapai tahap usia yang matang untuk berfikir dengan sebaiknya dan menjadi tanggungjawab bagi pihak lelaki untuk membimbing dan melindungi, bukan merosakkan kaum wanita.

“Selain itu, pengehadan umur kanak-kanak sehingga umur 16 tahun juga boleh dipertimbangkan pindaan kepada umur yang lebih rendah seperti 12 tahun berikutan perubahan sosial dan kewajaran mereka berada pada usia itu untuk dipertanggungjawabkan atas kesalahan dilakukan

“Ini khususnya bagi kes-kes zina suka sama suka, tanpa unsur jenayah atau pujuk rayu daripada pihak lelaki. Hal ini wajar dipertimbangkan berdasarkan pada konsep keadilan dan kesamarataan dalam undang-undang dan hukuman bagi setiap yang melakukan kesalahan, selaras dengan Perkara 8(1), Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu,Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Mohd Yusoff, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.

Related Posts

‘Pas penipu atau gagal memahami akaun kewangan TH, sila jelaskan’ – Chong Zhemin

AHLI Parlimen Kampar, Chong Zhemin mendesak Pas tampil memberikan penjelasan berhubung kegagalan parti itu mengesan krisis kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2016 serta tindakan keluar daripada sidang khas Dewan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penyatuan Melayu-Islam: Apa makna jika amanah dan tadbir urus dipersoal?

PONTIAN – Naratif penyatuan Melayu-Islam yang sering dibawa oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan slogan politik, sebaliknya melalui sejauh mana amanah, integriti dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Pas penipu atau gagal memahami akaun kewangan TH, sila jelaskan’ – Chong Zhemin

‘Pas penipu atau gagal memahami akaun kewangan TH, sila jelaskan’ – Chong Zhemin

Penyatuan Melayu-Islam: Apa makna jika amanah dan tadbir urus dipersoal?

Penyatuan Melayu-Islam: Apa makna jika amanah dan tadbir urus dipersoal?

Sarawak perkukuh status hab tenaga hijau dan semikonduktor di Asia Tenggara

Sarawak perkukuh status hab tenaga hijau dan semikonduktor di Asia Tenggara

Kerajaan Pahang sedia RM5.5 juta untuk TVET

Kerajaan Pahang sedia RM5.5 juta untuk TVET

Pas gagal tutup aktiviti judi masa jadi kerajaan – Chun Weng

Pas gagal tutup aktiviti judi masa jadi kerajaan – Chun Weng

Dr MAZA puji prestasi Menteri Agama dalam pengurusan hal ehwal Islam

Dr MAZA puji prestasi Menteri Agama dalam pengurusan hal ehwal Islam