
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI akan memulangkan hasil penyasaran subsidi kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif lain, terutamanya dalam menambah baik infrastruktur termasuk membaik pulih kerosakan akibat bencana.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi seperti diesel membantu kerajaan melaksanakan pemberian penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada rakyat.
“Kita mampu memberikan hasil kembali kepada rakyat seperti penghargaan SARA. Walaupun RM100 implikasi kewangan kepada kerajaan itu RM2 bilion, ini dapat dilakukan kerana penyasaran subsidi minyak diesel dahulu.
“Sekarang penyasaran subsidi (RON 95) naik sedikit untuk bukan warganegara, (tetapi) turun bagi rakyat dan tentunya hasil pulangan itu akan kembali kepada rakyat
“Sebagai contoh, kejadian banjir di Sabah baru-baru ini, impak akibat bencana itu amat besar membabitkan kerosakan institut perguruan, sekolah, klinik dan jalan raya,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai banjir di Sabah, Anwar berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau situasi di negeri itu dan menyaksikan kerosakan yang berlaku akibat bencana berkenaan.
“Cerun jalan, klinik dan sekolah semua harus diperbaiki. Jadi ada beban baharu yang kita harus manfaatkan daripada dana (penyasaran subsidi) ini untuk bantu rakyat terjejas.
“Tumpuan kita masih dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa harga RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia mulai 30 September 2025.
Polis dan tentera akan menikmati kadar baharu mulai 27 September manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut dapat akses lebih awal bermula 28 September.
Inisiatif subsidi ini dikenali sebagai Budi Madani RON95 (BUDI95) dan menyaksikan penurunan harga daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter.
Bagaimanapun, untuk warga asing, mereka perlu membayar pada harga RM2.60 seliter bermula tarikh sama.







