Tan Jie - Ee Wei
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei membuktikan ketahanan mental luar biasa apabila bangkit selepas kekalahan set pertama untuk mara ke final Masters China Super 750 di Shenzhen Arena, hari ini.
Pilihan ketiga kejohanan itu menampilkan aksi bersemangat sebelum menundukkan pasangan pilihan utama dunia dari China, Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping.
Tang Jie–Ee Wei, yang berstatus juara dunia, tewas set pertama 22-24 sebelum bangkit dalam dua set berikutnya dengan kemenangan 21-19, 21-17 dalam aksi sejam 20 minit.
Kemenangan dramatik itu memastikan kemaraan mereka ke final kedua berturut-turut dan menjadi penebus kekalahan kepada gandingan sama pada Piala Sudirman 2025.
Keputusan itu juga menyaksikan Tang Jie–Ee Wei merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 3-6 menentang pasangan nombor satu dunia itu.



