KUANTAN – Kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 21 Ogos lalu, berpunca daripada pelanggaran dengan burung.
Perkara itu dimaklumkan Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Beliau berkata, Lembaga Siasatan TUDM mendapati kesan pelanggaran seekor burung bangau yang berada di atas landasan mengakibatkan kegagalan fungsi enjin kiri pesawat itu.
“Penemuan itu berdasarkan analisis kamera litar tertutup, analisis dari sistem perakam penerbangan dan pemeliharaan rekod dengan bantuan Tentera Laut Amerika Syarikat, data teknikal serta analisis diperoleh dari Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan, Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara,” katanya.
Muhamad Norazlan berkata demikian dalam sidang media di Pangkalan TUDM Kuantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengoperasian pesawat F/A-18D Hornet akan diteruskan seperti biasa, dengan pesawat itu telah menjalani latihan penerbangan pagi tadi.
“Saya rasa yakin bahawa tiada (masalah pesawat) yang boleh menjurus kepada (masalah) teknikal dan lebih kepada kejadian yang tidak dapat dielakkan iaitu kemasukan burung yang agak besar dan menyebabkan pesawat itu tidak dapat berlepas pada malam berkenaan,” katanya.





