
KEKALAHAN Mohd. Shukri Ramli dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat hari ini menimbulkan persoalan besar tentang kedudukan politiknya.
Menteri Besar Perlis itu bukan sahaja gagal menempatkan diri dalam senarai 18 AJK Pusat, malah rekod kekalahan di peringkat kawasan Arau pada Jun lalu semakin mencalar pengaruhnya dalam parti.
Kedua-dua episod ini memberi gambaran bahawa sokongan akar umbi terhadap Shukri semakin menipis, walaupun beliau mengetuai kerajaan negeri yang dikuasai hampir sepenuhnya oleh Perikatan Nasional.
Lebih menarik, dalam masa yang sama, nama Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas pemimpin UMNO dan bekas MB Perlis muncul sebagai antara calon popular dengan memperoleh 717 undi.
Kontras ini memberi isyarat bahawa perwakilan Pas masih melihat Shahidan sebagai watak politik relevan walaupun beliau hanya menyertai Pas sejak Jun 2023.
Senario ini menimbulkan spekulasi sama ada sedang berlaku gelombang ‘penyingkiran senyap’ terhadap Mohd Shukri di kalangan ahli Pas sendiri.
Beberapa pemimpin lain turut senasib dengannya, termasuk Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, Dr Ahmad Yunus Hairi dan beberapa ADUN lain. Namun, kedudukan Shukri lebih menjadi perhatian kerana beliau ialah MB Perlis
Sebagai peneraju negeri, kekalahan di medan parti menggambarkan jurang antara kedudukan kerajaan dan penerimaan politik dalaman. Ini boleh menjadi liabiliti kepada kepimpinannya di Perlis.
Tekanan semakin terasa kerana Pas Perlis hanya mempunyai 15 kerusi DUN, dan PN menguasai 14 daripadanya. Dalam landskap sekecil itu, setiap pergeseran dalaman boleh memberi kesan besar.
Kekalahan berganda dalam tempoh singkat tahun ini mewujudkan persepsi bahawa Shukri tidak mampu mengawal sokongan di peringkat akar umbi, apatah lagi mempertahankan pengaruh di luar Perlis.
Jika gelombang ini berterusan, tidak mustahil kedudukannya sebagai MB akan terjejas, khususnya jika wujud desakan dalaman untuk menggantikan pimpinan negeri dengan tokoh lain yang lebih mendapat kepercayaan parti.
Persoalan yang kini timbul adakah episod ini hanyalah sekadar kekalahan taktikal, atau tanda awal gelombang singkirkan Menteri Besar Perlis sedang berakar umbi di dalam parti?




