NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyindir kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa kerajaan kini boleh membatalkan keputusan kerajaan terdahulu sesuka hati.
Menurut Mahfuz, kenyataan tersebut menunjukkan betapa ceteknya kefahaman sesetengah pemimpin pembangkang tentang pentadbiran negara.
“Negara ini bukan aplikasi e-dagang, bukan juga beg kuning TikTok yang boleh ‘cancel order’ bila rasa tak puas hati,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan, setiap keputusan kerajaan melibatkan undang-undang, kontrak, hak rakyat serta tanggungjawab negara, dan tidak boleh diperlakukan seolah-olah membeli baju saiz salah kemudian membatalkannya begitu sahaja.
Mahfuz turut memberi amaran bahawa jika kerajaan bertindak sewenang-wenangnya membatalkan dasar serta keputusan kerajaan lalu tanpa asas kukuh, negara akan ‘hancur dipandu dengan mentaliti pasar malam iaitu hari ini jual, esok tarik balik tapak’.
Katanya, Tuan Ibrahim perlu faham bahawa tadbir urus negara menuntut kebijaksanaan, konsistensi, dan kepatuhan kepada undang-undang, bukannya ‘trial and error’ seperti membeli barang dalam talian.
“Kalau nak bagi cadangan, biarlah lahir daripada akal yang lebih tinggi daripada ketinggian tubuh.
“Kalau tidak, jadilah idea dari kepala lutut,” sindir Mahfuz lagi.
Mengakhiri kenyataannya, Mahfuz menegaskan bahawa urusan negara tidak boleh disamakan dengan troli TikTok.
“Ini negara, bukan kedai borong,” tegasnya.




