
MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menjadi mangsa ugutan siber membabitkan kandungan pornografi yang dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Fahmi berkata, selain dirinya, antara wakil rakyat yang menerima ugutan serupa melalui e-mel ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Turut menerima e-mel berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi; Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Wong Chia Zen serta Senator Monolan Mohamad.
“E-mel tersebut mengugut untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima tidak membuat bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM420,000).
“Hasil semakan mendapati e-mel berkenaan menggunakan ayat hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa dan dipercayai dihantar daripada alamat e-mel sama,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya pada Ahad.
Menurut Fahmi, kerajaan memandang serius insiden itu dan beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan serta menjejak penjenayah yang menghantar e-mel ugutan melalui aplikasi Gmail.
Beliau menegaskan bahawa menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat. Segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin turut menerima e-mel ugutan siber berunsur pornografi yang dipercayai menggunakan teknologi AI dan ugutan itu diterimanya pada Jumaat lalu.








