KUALA PERLIS – Dua buah sekolah berjiran, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choon Siew membuktikan hubungan erat antara aliran pendidikan boleh menjadi model kecil perpaduan masyarakat.
Guru Besar SK Kuala Perlis, Mazlan Abu Bakar berkata, beliau bersama rakan sejawatnya, Kung Teik Seng dari SJKC Choon Siew sepakat menjayakan majlis penutup sambutan kemerdekaan peringkat sekolah melalui program silang budaya.
“Tujuan kita adalah untuk menggalakkan murid-murid Melayu dan Cina saling mengenali serta berkawan. Kita harapkan apabila mereka dewasa, ia akan terus mengukuhkan keharmonian kaum.
“Dalam program ini, kira-kira 130 murid terlibat dan mereka mencuba pelbagai permainan tradisional dari pelbagai kaum untuk lebih mengenali budaya antara kaum di Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Antara permainan tradisional yang dipertandingkan ialah boling buah kelapa, tuju tin, galah panjang, batu seremban serta jentik tudung botol atau ceper yang dimainkan secara berpasukan campuran.

Sementara itu, Teik Seng berkata, kerjasama antara dua sekolah berjiran itu membuktikan persefahaman kaum boleh dipupuk melalui aktiviti bersama sejak di bangku sekolah rendah.
“Saya dan Cikgu Mazlan percaya, semangat perpaduan dan patriotisme harus dipupuk sejak awal lagi agar generasi akan datang membesar dalam suasana saling memahami.
“Murid Melayu dapat mengenali budaya masyarakat Cina, manakala murid Cina pula memahami budaya masyarakat Melayu. Usaha ini secara tidak langsung merapatkan hubungan sesama mereka,” ujarnya.
Tambahnya, selain permainan tradisional, murid SK Kuala Perlis juga kerap menyertai aktiviti di SJKC Choon Siew termasuk sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan secara meriah di sekolah itu.
Beliau berharap, inisiatif silang budaya tersebut akan diteruskan pada masa hadapan bagi menjadikan kedua-dua sekolah itu contoh terbaik semangat kejiranan dalam memupuk perpaduan dan keharmonian kaum.




