MINDA TOK ABAH: Percikan jadi api, amaran dari seberang untuk Malaysia

“SEDIKIT api, kalau dibiarkan, akan membakar gunung; sedikit fitnah, kalau disebar, boleh membakar sebuah negara.”

Peribahasa ini bukan sekadar kata indah; ia kini menjadi realiti getir yang sedang menimpa negara jiran kita, Indonesia. Apa yang bermula sebagai ‘sambutan’ santai ahli dewan berjoget selepas sidang Parlimen dengan alunan lagu Maumere, bertukar menjadi rusuhan besar-besaran, kematian tragis, dan pembakaran gedung. Dalam sekelip mata, percikan kecil menyala menjadi lahar yang membakar kota.

Pada awal Ogos 2025, sebuah video tular memaparkan wakil rakyat berjoget riang dengan kapsyen sinis: “Joget sebab gaji naik.” Hakikatnya bukan gaji, tetapi elaun perumahan sebanyak Rp50 juta sebulan. Namun bagi rakyat yang hidup dengan gaji minimum Rp2-3 juta, angka Rp50 juta ibarat penghinaan. Ditambah pula dengan kenaikan cukai tanah 250 peratus di Jawa Tengah, kemarahan rakyat meletup. Joget itu jadi percikan; cukai jadi bahan bakar.

Ketika protes merebak, seorang penghantar makanan muda, Affan Kurniawan, dirempuh kenderaan polis. Nyawanya terkorban, tetapi namanya bangkit sebagai simbol perlawanan rakyat kecil. Gedung-gedung DPRD mula dibakar, rumah selebriti-politik seperti Uya Kuya dan Nafa Urbach dijarah. Naratif kebencian di media sosial, ditambah ‘hoax’ dan ‘deepfake’, menukar fitnah menjadi industri menguntungkan penghasut. Indonesia bergolak kerana jurang sosial dan politik kebencian yang dibiarkan berakar.

Apakah Malaysia kebal? Jawapannya tidak. Kita juga ada percikan kecil yang sedang menyala.

Bahaya yang sedang berputik di Malaysia

Isu pengurusan Tabung Haji, perdebatan Akta Perolehan, Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB), malah kes buli tragis seperti menimpa Zara Qairina Mahathir; semuanya berpotensi dimanipulasi. Tambah lagi, bantuan tunai kecil seperti RM100 pun boleh diputar belit menjadi isu 3R (kaum, agama, raja). Itulah taktik penghasut: menjadikan usaha murni kerajaan menjadi simbol ketidakadilan, lalu menanam rasa benci terhadap kerajaan.

Lihat bagaimana naratif tentang Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dimainkan. Bantuan tunai yang sepatutnya membantu rakyat bawahan dipropagandakan seolah-olah hanya menguntungkan syarikat besar dan peniaga kaum tertentu. Hakikatnya, semua peniaga tanpa mengira kaum menerima limpahan ekonomi apabila kuasa beli rakyat meningkat. Tetapi dalam tangan penghasut, fakta berubah menjadi fitnah, dan fitnah menjadi bahan api kebencian.

Bahaya sebenar bukan pada isu itu sendiri, tetapi pada hilangnya kepercayaan rakyat kepada sistem. Apabila rakyat percaya kerajaan tidak lagi adil, mereka tidak menunggu pilihan raya. Mereka bangkit di jalanan. Inilah yang terjadi di Jakarta, Makassar, dan Solo. Jangan fikir ia tidak boleh berlaku di Kuala Lumpur, Johor Bahru, atau Kota Kinabalu.

Politik kebencian: Racun yang memusnahkan

Politik kebencian bukan sekadar retorik panas; ia racun yang menular senyap. Ia bermula dengan meme sinis, status viral, atau video editan, kemudian berubah menjadi gelombang protes. Di era digital, kebohongan boleh menewaskan kebenaran jika dibiarkan tanpa jawapan.

Isu perkauman dan agama pula menjadi kad paling mudah dimainkan. Ia mungkin menguntungkan segelintir ahli politik dalam jangka pendek, tetapi akhirnya menghancurkan negara. Keharmonian kita hari ini adalah hasil titik peluh generasi terdahulu; janganlah ia dikorbankan hanya kerana nafsu kuasa.

Apa yang mesti dilakukan?

Pertama, kerajaan tidak boleh menangguh atau menafikan isu sensitif. Dalam dunia digital, ruang kosong komunikasi kerajaan akan segera diisi oleh penghasut. Setiap krisis mesti dijawab segera dengan naratif yang jelas dan meyakinkan.

Kedua, konsep Malaysia MADANI mesti diterjemahkan dalam bentuk nyata, bukan sekadar slogan. Rakyat mahu melihat pemimpin yang bukan hanya memberi jawapan teknikal, tetapi benar-benar menyantuni mereka. Program turun padang, dasar mesra rakyat, dan komunikasi berkesan adalah kunci menghapus jurang persepsi.

Ketiga, media mesti bertanggungjawab. Jangan hanya mengejar sensasi hingga menjadi penyambung fitnah di samping rakyat juga mesti matang menapis maklumat. Jangan menyerahkan akal kepada manipulasi maya. Bijak berfikir adalah benteng pertama melawan politik kebencian.

Jangan biar api kebencian membakar kita

Kisah Indonesia adalah amaran. Dari sebuah joget, lahir tragedi kemanusiaan, rusuhan, dan anarki. Malaysia masih ada peluang mengelak jalan yang sama. Tetapi ia menuntut keberanian kolektif yang menolak politik kebencian, memperkukuh keadilan, dan mengutamakan keharmonian rakyat.

Harmoni adalah cahaya yang menerangi rumah bangsa ini. Tetapi jika kita leka, percikan kecil akan membakar seluruh negara. Jangan biarkan generasi akan datang mewarisi abu kerana kita gagal menjaga api.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Fakta menolak persepsi: Lonjakan daya saing global

​LAPORAN terbaharu pada Jun 2026 mengesahkan Malaysia melonjak hebat 8 anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam Indeks Daya Saing Global (IMD). Sebuah bukti nyata, bukan sekadar persepsi atau propaganda semata-mata.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pas ubah naratif demi politik? Kritikan Zuliadin cetus persoalan tentang konsistensi perjuangan

Pas ubah naratif demi politik? Kritikan Zuliadin cetus persoalan tentang konsistensi perjuangan

RTB perlu segera, diperbanyak tangani banjir berulang

RTB perlu segera, diperbanyak tangani banjir berulang

Isu elektrik, telekomunikasi Orang Asli jadi keutamaan calon PH Pertang

Isu elektrik, telekomunikasi Orang Asli jadi keutamaan calon PH Pertang

Bomba selamat 23 mangsa terperangkap banjir

Bomba selamat 23 mangsa terperangkap banjir

Kerajaan Perak arah semakan menyeluruh operasi kuari Kuala Kangsar

Kerajaan Perak arah semakan menyeluruh operasi kuari Kuala Kangsar

Tiada larangan, Sanusi boleh terus berkempen di Negeri Sembilan – Samsuri

Tiada larangan, Sanusi boleh terus berkempen di Negeri Sembilan – Samsuri