Anwar lancar kilang EV PROTON

PELANCARAN kilang kereta elektrik (EV) PROTON pertama di Malaysia menjadi titik baharu dalam usaha memperkukuh hubungan erat Malaysia-China serta melonjakkan industri automotif negara ke arah teknologi hijau dan lestari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu adalah hasil kerjasama strategik berterusan dengan kerajaan China – yang bukan sahaja memberi sokongan pelaburan besar – tetapi pemindahan teknologi menerusi Geely.

“PROTON memiliki pengalaman lama dengan syarikat antarabangsa dan kini dengan sokongan besar daripada Geely, kita berjaya mengorak langkah lebih jauh.

“Kerjasama ini termasuk pemindahan teknologi dan pembentukan pusat kecemerlangan untuk melatih anak-anak kita,” katanya ketika merasmikan kemudahan baharu Proton Holdings Bhd (PROTON) di Tanjung Malim, Perak, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke Siew Fook; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar.

Kilang pengeluaran EV terbaharu PROTON dianggarkan berkeluasan lebih 2.2 hektar dengan kos pembinaan mencecah hampir RM80 juta mengikut fasa dan kapasiti ribuan unit kenderaan setahun.

Kilang itu juga mengeluarkan EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 dan dijangka mengeluarkan model kedua iaitu e.MAS 5.

Anwar berkata, pembangunan kilang EV PROTON itu menyokong dasar transisi tenaga negara serta membolehkan jenama kereta nasional itu beralih daripada hanya sekadar pemasangan kenderaan kepada pengeluaran penuh model EV berteknologi tinggi.

“Pelancaran kilang ini memenuhi keutamaan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP2020), bukan sahaja dari segi peralihan tenaga, tetapi juga dalam konteks pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan industri berteknologi tinggi, mobiliti pintar dan kelestarian,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama erat dengan kerajaan China dan Geely membolehkan PROTON bersaing di pentas global, selain membuka peluang pasaran baharu.

“Komitmen rakan kita di China, termasuk Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Qiang, membuktikan kesediaan mereka menjadikan EV sebagai agenda bersama.

“PROTON kini berpeluang menembusi pasaran Mesir, Afrika Selatan dan Amerika Latin,” tambahnya lagi.

Perdana Menteri menegaskan, PROTON perlu memastikan produk EV yang dihasilkan mampu dimiliki rakyat pada harga berpatutan, dengan kos penyelenggaraan rendah serta jarak perjalanan lebih panjang.

“Produk ini akan memenuhi keperluan rakyat berpendapatan sederhana. Dengan sokongan rantaian bekalan tempatan, kos dapat dikurangkan, manakala peluang pekerjaan dapat ditingkatkan,” kata Anwar.

Selain pengeluaran kenderaan, projek itu juga memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem lebih luas, termasuk vendor, pembekal tempatan dan hab pendidikan.

“Kita mahu kilang ini bukan sekadar pusat pengeluaran, tetapi menjadi pusat pendidikan dan latihan.

“PROTON dengan kerjasama Geely akan melahirkan jurutera dan profesional automotif yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Anwar menegaskan, pembangunan industri perlu seimbang dengan kebajikan rakyat termasuk penyediaan kemudahan pendidikan, kesihatan dan sosial di kawasan sekitar Tanjung Malim.

Katanya, kerajaan negeri dan kementerian berkaitan sudah diarahkan memastikan manfaat pembangunan ini dirasai sepenuhnya oleh masyarakat setempat, khususnya golongan muda.

“Saya difahamkan, anak-anak Malaysia berpeluang mengikuti latihan teknologi EV di China. Ini kejayaan yang membanggakan kerana memberi pendedahan global kepada tenaga kerja kita,” katanya.

Beliau menekankan, PROTON mesti bersedia melengkapkan projek ini sepenuhnya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober, agar Malaysia dapat memperlihatkan pencapaian itu di pentas antarabangsa.

“Apa yang kita capai hari ini adalah hasil disiplin, bakat dan dedikasi semua pekerja PROTON.

“Saya berbangga kerana kilang EV ini menjadi mercu tanda baharu automotif negara, selaras dengan NIMP 2030,” katanya.

Related Posts

Kementerian Ekonomi mahu program IPR-INSAN diteruskan

ARAU – Kementerian Ekonomi akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MoF) supaya pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) disambung bagi tempoh seterusnya selepas terbukti membantu usahawan B40 menjana pendapatan. Menteri Ekonomi, Akmal…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MPAJ keluar empat kompaun ke atas 13 rumah urut di Ampang

AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan empat kompaun dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Rumah Urut baru-baru ini. Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

BN peroleh majoriti mudah, bentuk Kerajaan Negeri Johor – SPR

BN peroleh majoriti mudah, bentuk Kerajaan Negeri Johor – SPR

PRN Johor: BN raih kemenangan, kuasai 48 kerusi DUN

PRN Johor: BN raih kemenangan, kuasai 48 kerusi DUN

Maszlee berjaya tawan DUN Puteri Wangsa

Maszlee berjaya tawan DUN Puteri Wangsa

PRN Johor: PH terima keputusan rakyat hanya menang lapan kerusi

PRN Johor: PH terima keputusan rakyat hanya menang lapan kerusi

BN lepas majoriti mudah bentuk Kerajaan Negeri Johor

BN lepas majoriti mudah bentuk Kerajaan Negeri Johor