PEMUDA Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri, yang didakwa menyebarkan fitnah berunsur perkauman berhubung insiden cubaan menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semasa sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2025, pada Ahad.
Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, Hafez telah mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab apabila mendakwa wanita terbabit ‘berbangsa Cina’, sedangkan laporan rasmi pihak berkuasa mengesahkan individu berkenaan berbangsa Melayu yang mengalami masalah mental dan memiliki rekod rawatan pakar.
“Fitnah ini bukan sahaja tular luas, malah dipercayai masyarakat awam.
“Ia membuktikan betapa mudah sentimen kaum dimanipulasi untuk menanam kebencian, lebih-lebih lagi pada Hari Kebangsaan yang sepatutnya diraikan dengan semangat perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairol menegaskan, sebagai seorang ADUN dan graduan Pengajian Islam Universiti Malaya, Hafez seharusnya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan serta bertanggungjawab mendidik rakyat, bukannya membakar sentimen perkauman demi kepentingan politik sempit.
“Pemuda Amanah Perak memandang serius perbuatan mencipta naratif palsu berasaskan kaum.
“Tindakan sebegini jahat dan tidak boleh dimaafkan kerana mengancam keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa insiden tersebut melibatkan kedudukan dan keselamatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.
Justeru, pihaknya mendesak siasatan terperinci dan tindakan tegas terhadap semua pihak yang cuba memanipulasi isu ini, demi memelihara kedaulatan institusi diraja.
“Malaysia tidak boleh terus dibiarkan terjerat dalam budaya fitnah perkauman. Rakyat mesti dilindungi daripada politik kebencian yang merosakkan negara,” tegas Khairol.
Pemuda Amanah Perak turut menggesa pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk mengekang penyebaran berita palsu, termasuk terhadap individu atau pihak yang menunggang isu perkauman untuk mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi Ahad, sewaktu lagu Kebesaran Negeri Perak berkumandang, seorang wanita tempatan bertindak mendekati Sultan Perak ketika berada di pentas utama.
Semakan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan sejarah rawatan psikiatri, selain masih berada di bawah pengawasan pakar perubatan.
Tinjauan juga mendapati, status ADUN Manjoi yang dimuat naik di Facebook milik rasminya, Hafez Sabri, telah dipadamkan.





