
SANDAKAN – Himpunan aman Aksi Vigil 2.0 ‘Justice for Zara’ anjuran pelbagai gabungan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya menghimpunkan lebih 20,000 orang di sekitar Sandakan malam Ahad.
Penganjurnya, Saddam Hussin Kussin, 34, yang juga mewakili Sekretariat Solidariti Zara berkata, himpunan itu diadakan sebagai simbol solidariti rakyat dalam menuntut keadilan bagi Zara.
“Saya difahamkan ada yang datang dari Beluran, Kinabatangan dan Lahad Datu.
“Kehadiran mereka membuktikan rakyat Sabah berdiri bersama-sama menuntut keadilan.
“Tujuan himpunan ini hanya satu iaitu untuk menuntut keadilan melalui suara rakyat.
“Ini adalah pentas rakyat, bukan pentas politik,” katanya ketika ditemui media selepas selesai Aksi Vigil 2.0 ‘Justice for Zara’ di Padang Bandar Sandakan, di sini pada Ahad.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir, mereka tidak dibenarkan berucap kerana himpunan itu bukan platform politik.
“Kami minta maaf kepada YB (Yang Berhormat) yang hadir.
“Jika mahu berucap, tempatnya adalah di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, bukan di sini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Saddam turut merakamkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) kerana membantu memastikan keselamatan sepanjang himpunan berlangsung.
Selain himpunan utama, lebih 200 kenderaan termasuk motosikal menyertai konvoi solidariti yang pada awalnya dijadualkan berkumpul di Padang Bandaran Sandakan namun dialihkan ke Ujana Elopura Skate Park berikutan kawasan terlalu padat.
“Dalam rekod ada 150 kenderaan, tapi yang hadir saya lihat lebih 200.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dengan kawalan pihak polis,” katanya.
Tambah beliau, perjuangan menuntut keadilan akan diteruskan.
“Jika tiada keadilan di dunia, di akhirat nanti Allah SWT menjadi saksi bahawa kami rakyat marhaen sudah berdiri memperjuangkannya,” ujarnya.




