Anwar perkukuh hubungan strategik Malaysia–China di Tianjin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meneruskan agenda hari kedua lawatan kerja beliau di Tianjin, Cina dengan menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia serta menegaskan semula komitmen negara terhadap multilateralisme.

Program beliau bermula dengan penyampaian syarahan umum bertajuk “Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia” di Universiti Tianjin, iaitu universiti moden tertua di China yang ditubuhkan pada tahun 1895.

Universiti tersebut terkenal dengan program dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan sains, selain mempunyai program berkembar bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam bidang kejuruteraan kimia.

Syarahan umum itu dijangka dihadiri kira-kira 500 pelajar, ahli akademik serta wakil kumpulan pemikir.

Selepas syarahan berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan pertemuan perniagaan dengan dua syarikat utama China, iaitu Rianlon Corporation dan China Communications Construction Company Limited (CCCC).

Rianlon Corporation yang beribu pejabat di Tianjin merupakan peneraju global dalam bidang bahan tambahan polimer, manakala CCCC pula ialah penyedia perkhidmatan infrastruktur berskala besar bertaraf antarabangsa.

CCCC, yang tersenarai di Bursa Hong Kong dan termasuk dalam senarai Fortune Global 500, turut menjadi kontraktor utama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Malaysia menerusi anak syarikat tidak langsungnya, China Communication ECRL Sdn. Bhd.

Kemuncak lawatan Perdana Menteri di Tianjin ialah penyertaan beliau dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.

Beliau dijemput oleh China selaku pengerusi semasa untuk menyampaikan ucapan pada SCO Plus Summit yang dijadualkan berlangsung jam 4 petang di Pusat Konvensyen Meijian, Tianjin.

Sidang kemuncak berkenaan akan menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia, termasuk Presiden Russia, Vladimir Putin; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Meskipun Malaysia bukan negara pemerhati atau rakan dialog kepada SCO, kehadiran Anwar menyerlahkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati dalam hal ehwal global.

Ia juga menjadi manifestasi hubungan erat serta kepercayaan strategik antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Perdana Menteri dan delegasi beliau dijadualkan berlepas ke Beijing pada malam ini untuk meneruskan bahagian kedua lawatan kerja empat hari, yang merangkumi pertemuan penting dengan kepemimpinan tertinggi China dan tokoh industri utama negara itu.

Related Posts

Kemalangan ragut lima nyawa: Siasat segera, bawa pelaku ke muka pengadilan

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa siasatan berhubung kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor yang meragut lima nyawa disegerakan supaya tindakan pendakwaan dapat diambil terhadap pihak yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Calon BN Johor akan dimuktamad selepas rundingan parti komponen – Zahid Hamidi

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) sedang meneliti senarai calon yang dikemukakan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum keputusan muktamad dibuat.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

KKM beri amaran premis kesihatan tidak berlesen, penguatkuasaan akan diperhebat

KKM beri amaran premis kesihatan tidak berlesen, penguatkuasaan akan diperhebat

Tersepit pada spring kerusi urut, kucing diselamatkan bomba

Tersepit pada spring kerusi urut, kucing diselamatkan bomba

PRU dan PRN serentak perlu berasaskan persetujuan nasional, bukan paksaan politik – Penganalisis

PRU dan PRN serentak perlu berasaskan persetujuan nasional, bukan paksaan politik – Penganalisis

Nahas ngeri: Bayi tercampak, lima sekeluarga maut

Nahas ngeri: Bayi tercampak, lima sekeluarga maut

Lelaki hilang di hutan Kabong ditemukan selamat

Lelaki hilang di hutan Kabong ditemukan selamat

Budaya ‘ngabang’ terus subur, pemangkin perpaduan sempena Hari Gawai 

Budaya ‘ngabang’ terus subur, pemangkin perpaduan sempena Hari Gawai