USJT Bukit Aman ambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian pelatih Palapes

PUTRAJAYA – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil alih siasatan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, berkuat kuasa pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ia dilakukan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan keluarga Allahyarham Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu untuk menggali semula kubur serta menjalankan bedah siasat kedua terhadap jasadnya.

Katanya, mahkamah yang dipengerusikan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet telah mengeluarkan perintah supaya jasad Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua.

“PDRM memberikan komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah tersebut. Bagi tujuan penyelarasan tindakan, siasatan kes akan diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan jenayah Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

“Mahkamah turut memerintahkan supaya bedah siasat dilakukan seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga, Datuk Naran Singh atau wakilnya.

“Selain itu, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat berkenaan diarah mengeluarkan laporan post-mortem dalam tempoh munasabah, dengan satu salinan laporan diserahkan kepada peguam keluarga, Tetuan Naran Singh & Co,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Kumar menegaskan, polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip Rule of Laws bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah supaya kubur Syamsul Haris Shamsudin digali semula.

Semasa membaca keputusan berkenaan, Bhupindar Singh berkata, responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung Ummu Haiman Bee itu bagi menjalankan bedah siasat kedua.

Pada 19 Ogos lepas, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu.

Related Posts

Kerajaan gesa Zionis bebaskan 25 rakyat Malaysia sertai GSF 2.0

SUBANG – Kementerian Luar menggesa rejim Zionis segera membebaskan 25 rakyat Malaysia yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan terus bantu PKS depani tekanan ekonomi global – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat sokongan sewajarnya bagi menghadapi tekanan kos operasi serta ketidaktentuan rantaian bekalan global. Perdana Menteri, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan gesa Zionis bebaskan 25 rakyat Malaysia sertai GSF 2.0

Kerajaan gesa Zionis bebaskan 25 rakyat Malaysia sertai GSF 2.0

Kerajaan terus bantu PKS depani tekanan ekonomi global – PM

Kerajaan terus bantu PKS depani tekanan ekonomi global – PM

Tony Pua diminta mohon maaf, DAP digesa ambil tindakan disiplin

Tony Pua diminta mohon maaf, DAP digesa ambil tindakan disiplin

KPM sasar 800 bilik darjah ‘AI Powered Classroom’ menjelang 2027

KPM sasar 800 bilik darjah ‘AI Powered Classroom’ menjelang 2027

Sekolah Tinggi Segamat raih pengiktirafan seabad, lambang kecemerlangan pendidikan

Sekolah Tinggi Segamat raih pengiktirafan seabad, lambang kecemerlangan pendidikan

YDP MPK akui kelemahan diri, mohon maaf isu tular program rakyat

YDP MPK akui kelemahan diri, mohon maaf isu tular program rakyat