
KUCHING – Penulisan berita berintegriti dalam bidang perniagaan dan ekonomi mampu memainkan peranan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus menarik perhatian pelabur asing dari luar negara.
Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong berkata, wartawan yang berkecimpung dalam bidang perniagaan dan ekonomi sering dipandang tinggi kerana mereka memiliki ilmu serta kefahaman mendalam yang mungkin tidak dimiliki orang awam.
“Wartawan ekonomi bukan sekadar menulis berita, tetapi mereka menghubungkan pelabur dengan maklumat yang tepat, menjadi rujukan kepada pakar ekonomi, dan membantu kerajaan negeri memperlihatkan kekuatan serta potensi sebenar ekonomi tempatan. Inilah sumbangan besar kewartawanan berintegriti terhadap pembangunan negara,” katanya.
Menurut beliau, kewartawanan perniagaan berperanan sebagai jambatan ilmu yang mampu menjelaskan data kompleks, dasar kerajaan, serta peluang pelaburan dalam bahasa yang mudah difahami pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti perniagaan antarabangsa.
“Apabila laporan perniagaan dibuat dengan teliti, berasaskan fakta dan analisis kukuh, ia akan meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk datang melabur. Malah, ia dapat membezakan wartawan profesional berintegriti dengan warganet yang hanya menyebarkan maklumat tanpa penelitian,” jelasnya ketika menyampaikan ilmu pada Pewarta Business Writing Workshop dianjurkan oleh Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (Pewarta) pada Sabtu.
Yong menegaskan, kewartawanan ekonomi adalah medan yang memerlukan kepakaran kerana ia menggabungkan pengetahuan pasaran, isu global, polisi kerajaan, dan analisis trend semasa.
“Wartawan dalam bidang ini, katanya, sering dijadikan rujukan bukan sahaja oleh masyarakat, tetapi juga pelabur, ahli korporat, serta penggubal dasar.
“Integriti kewartawanan mesti sentiasa diutamakan kerana ia adalah benteng yang melindungi masyarakat daripada maklumat yang mengelirukan.
“Di samping itu, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) boleh membantu wartawan mempercepatkan pencarian data, menganalisis pasaran serta menstruktur laporan ekonomi dengan lebih sistematik. Namun, sentuhan manusia tetap diperlukan untuk memastikan laporan itu benar-benar telus dan seimbang,” ujarnya.
Beliau menambah, sinergi antara integriti kewartawanan dengan kemajuan teknologi akan meningkatkan kualiti penulisan berita perniagaan, seterusnya memperkukuh kedudukan ekonomi negeri di mata pelabur antarabangsa.
“Apabila berita perniagaan disampaikan dengan beretika dan berpengetahuan, ia bukan sahaja membantu masyarakat memahami perkembangan ekonomi, malah mampu memperlihatkan imej negeri dan negara sebagai destinasi pelaburan yang diyakini,” tegas beliau.





