KUANTAN – Seorang doktor wanita kerugian RM468,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang disertai secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 55 tahun itu tertarik dengan satu iklan pelaburan di laman sosial Facebook 30 Mei lalu.
Katanya, iklan terbabit mempromosi skim pelaburan saham dikaitkan dengan nama seorang individu dengan gelaran `Dr Adam Zubir’.
“Mangsa kemudiannya dihubungi suspek memperkenalkan diri sebagai Mavis yang kononnya mewakili sebuah syarikat pelaburan antarabangsa berpangkalan di Singapura.
“Suspek menjanjikan keuntungan lumayan antara 80 dan 128 peratus dalam tempoh sebulan. Terpengaruh janji itu, mangsa membuat 14 transaksi berjumlah RM468,000 kepada empat akaun bank berbeza dari 17 Jun hingga 6 Ogos lalu.
“Siasatan mendapati sumber kewangan itu dari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu semalam.
Yahaya berkata, selepas pembayaran dibuat, mangsa hanya diberikan paparan keuntungan palsu melalui gambar dihantar suspek.
Berdasarkan gambar terbabit, katanya, keuntungan kononnya diperoleh mangsa berjumlah RM800,000 termasuk modal.
“Mangsa diminta membuat bayaran tambahan berjumlah RM152,725 kononnya sebagai cukai sebelum dibenarkan mengeluarkan keuntungan itu.
“Namun, mangsa mula berasa curiga dan enggan membuat bayaran lanjut yang menyebabkan kerugian RM468,000. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.






