
SANDAKAN – Seramai lebih 600 pelajar di Sandakan menerima manfaat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dengan jumlah keseluruhan hampir RM3 juta.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan itu melibatkan pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Open University Malaysia (OUM), Kolej Kemahiran Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sandakan serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekitar daerah Sandakan.
“Sejak TPNS ditubuhkan, lebih 11,000 pelajar sudah dibantu dengan jumlah hampir RM17 juta termasuk pelajar di peringkat matrikulasi, diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD),” katanya ketika ditemui selepas Majlis penyampaian Bantuan TPNS di Dewan Serbaguna Libaran, di sini pada Selasa.
Menurutnya, sebanyak 16 inisiatif telah diperkenalkan melalui TPNS termasuk empat inisiatif baharu iaitu pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) iaitu (MERCU), Bantuan Yuran Peperiksaan Malaysia University English Test MUET (BAYU), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah sekali bayar (SUKSES).
“Bagi pelajar yang cemerlang dalam SPM, STPM atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kita sediakan insentif RM1,000 seorang menerusi MERCU.
“BAYU misalnya, akan menanggung sepenuhnya yuran peperiksaan MUET bernilai RM150 setiap calon dengan peruntukan RM1 juta setahun.
“Semua inisiatif ini adalah ilham daripada yang amat berhormat Ketua Menteri Sabah dalam mendukung kerajaan kita Gagasan Rakyat Sabah (GRS) hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) secara berterusan,” katanya.
“Melalui MERCU pula, pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang seperti 4.0 Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) STPM, 8A ke atas dalam SPM atau Mumtaz dalam STAM akan menerima anugerah RM1,000 seorang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut meningkatkan jumlah biasiswa daripada RM100 juta kepada lebih RM130 juta setahun yang membolehkan 5,000 pelajar menikmati biasiswa berbanding hanya 1,000 sebelum ini.
“Alhamdulillah, hari ini anak-anak di Sandakan sudah disantuni.
“Selepas ini kita akan teruskan penyerahan ke daerah-daerah lain supaya lebih ramai pelajar dapat manfaat,” ujarnya.

Majlis itu menyaksikan seramai 39 pelajar cemerlang menerima bantuan tunai termasuk 16 pelajar SPM, dua pelajar MUET, 17 pelajar STPM serta empat pelajar STPM luar bandar, masing-masing menerima RM1,000 seorang, manakala pelajar STPM lain menerima RM500 seorang.
Selain itu, 441 mahasiswa golongan B40 turut menerima Bantuan ‘One-Off’ termasuk 17 mahasiswa Politeknik Sandakan, 143 Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, 35 Kolej Komuniti Sandakan, 51 Kolej Kemahiran TVET Sandakan, 104 mahasiswa ijazah UMS, dua mahasiswa sarjana UMS, 86 mahasiswa OUM Pusat Pengajian Sandakan serta tiga mahasiswa IPT sekitar Sandakan.
Pada majlis sama, 50 pelajar menerima bantuan cermin mata, manakala tiga sekolah menerima Bantuan Sekolah Angkat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manila dan SK Pulau Timbang masing-masing RM5,000, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod RM10,000 serta Sekolah Pondok Miftahussalam RM6,500.







