
KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan mengulas kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menegur rundingan perjanjian antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu dilakukan secara teliti serta tidak tergesa-gesa.
“Itu pandangan beliau, saya tiada komen selanjutnya berkenaan komen Rafizi berhubungan perkara tersebut,” kata Abang Johari ketika ditemui oleh pemberita selepas merasmikan Public Sector Financial Transformation Conference 2025 di hotel terkemuka di Kuching pada Rabu.
Sebelum ini, Rafizi memberi amaran sebarang kecuaian dalam pengurusan rundingan tersebut boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi negara, memandangkan Petronas merupakan penyumbang utama hasil kepada Kerajaan Persekutuan, dengan dividen tahunan antara RM30 bilion hingga RM35 bilion.
Menurut Rafizi, kegagalan Petronas mengekalkan sumbangan dividen berikutan perubahan mendadak dalam perjanjian boleh menjejaskan keupayaan negara membiayai perkhidmatan asas rakyat, selain memberi kesan kepada pembangunan di negeri-negeri, termasuk Sarawak.
“Petronas menjadi tunjang utama dalam menyediakan dana kepada sektor pendidikan, kesihatan, infrastruktur, pencen dan gaji penjawat awam. Jika pendapatan Petronas merosot sehingga RM20 bilion, Kerajaan Persekutuan akan berdepan kesukaran membiayai keperluan asas rakyat,” katanya.
Tambah beliau, penurunan hasil Petronas boleh menyebabkan penarafan kredit negara jatuh dan kos pinjaman kerajaan melonjak, memandangkan Malaysia kini membayar sehingga RM48 bilion setahun untuk faedah pinjaman.
Rafizi turut menegaskan bahawa kekeliruan antara Akta Pembangunan Petroleum, Ordinan Perlombongan Minyak dan peruntukan undang-undang Persekutuan turut menjadi cabaran utama.
Beliau menasihatkan agar tuntutan hak oleh Sarawak dilaksanakan secara bijaksana agar tidak menjejaskan keyakinan pelabur, terutama apabila industri minyak dan gas memerlukan pelaburan besar serta jaminan dasar yang stabil.
Katanya, insiden seperti penarikan keluar syarikat minyak ConocoPhillips dari medan laut dalam Salam-Patawali dan tindakan mahkamah melibatkan Shell MDS menunjukkan pelabur amat peka terhadap sebarang ketidaktentuan dasar.
“Pelaburan minyak dan gas bersifat jangka panjang dan mencecah berbilion ringgit. Jika kontrak asal diubah tanpa persetujuan semua pihak, pelabur boleh hilang keyakinan dan membawa modal ke negara lain,” tegas beliau.
Rafizi mengakui Sarawak wajar menerima hasil lebih tinggi daripada sumber asli sendiri, namun mengingatkan sebarang penstrukturan perlu mengambil kira kelestarian Petronas dan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Saya setuju Sarawak patut dapat lebih, tetapi penyelesaian yang dicapai mesti memberi manfaat kepada semua pihak tanpa melemahkan kekuatan ekonomi negara,” katanya lagi.
Rafizi menegaskan segala rundingan mengenai hak minyak dan gas perlu dilakukan dengan prinsip menang-menang, demi memastikan kemakmuran berterusan buat Sarawak dan Malaysia secara amnya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






