KUALA LUMPUR – Data lengkap daripada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan bagi pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 yang kini sedang diperhalusi oleh Kerajaan MADANI.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan menjadikan data PADU sebagai rujukan utama bagi menentukan kelayakan penerima subsidi, sekali gus menjadikan inisiatif itu sebagai penggunaan pertama sistem tersebut secara menyeluruh dan terperinci.
Menurutnya, data PADU yang akan digunakan oleh MOF bertujuan menjadi rujukan kepada penerima subsidi RON95.
“Inilah pengguna pertama PADU yang betul-betul terperinci yang akan digunakan untuk subsidi bersasar.
“Sehingga kini sebanyak 30.4 juta profil individu telah dimasukkan ke dalam sistem PADU,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau menjawab Ahli Parlimen (PH) Sri Gading, Aminolhuda Hassan yang meminta penjelasan mengenai jumlah data dikumpul dalam sistem PADU setakat Jun 2025 dan sejauh mana kerajaan bersedia melaksanakan audit berkala oleh badan bebas bagi memastikan ketelusan dan tadbir urus sistem tersebut.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah memaklumkan profil-profil tersebut merangkumi pelbagai kategori data termasuk demografi, lokaliti, sosioekonomi, pekerjaan, pendapatan, pendidikan, pemilikan kenderaan, status kemiskinan serta jenis bantuan yang diterima.
Beliau yang juga menjalankan tugas Menteri Ekonomi berkata, kerajaan ketika ini memfokuskan kepada penggunaan data terkini bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, termasuk pengesahan dan verifikasi maklumat pemohon untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima subsidi.
“Sehingga kini sebanyak 204 agensi kerajaan telah melaksanakan perkongsian dan integrasi data secara berterusan dengan PADU. Namun, penggunaan data tersebut masih terhad kepada keperluan khusus agensi masing-masing.
“Untuk menggalakkan pembuatan keputusan berpacukan data, satu garis panduan perkongsian PADU telah diwujudkan dan diedarkan kepada semua agensi kerajaan pada 25 Februari lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, sesi penerangan mengenai penggunaan data PADU turut diadakan melibatkan kementerian, agensi, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dari Februari hingga Jun tahun ini.
“Setakat ini, katanya, sebanyak sembilan permohonan rasmi daripada pelbagai agensi telah diluluskan bagi penggunaan data PADU untuk meningkatkan kecekapan dasar serta inovasi pendigitalan perkhidmatan awam.
“Data yang dikumpulkan akan menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai program intervensi sosial yang lebih tepat sasaran pada masa akan datang,” katanya.


