KUANTAN – Polis sudah melengkapkan siasatan kes kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan kes buli di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu depan.
“Polis telah menamatkan siasatan dan merakamkan keterangan daripada kira-kira 60 saksi bagi membantu menjelaskan punca kematian Zara.
“Kertas siasatan dijangka akan dikemukakan kepada AGC selewat-lewatnya minggu depan.
“Tindakan selanjutnya bergantung kepada keputusan pihak AGC,” katanya kepada media selepas menghadiri perbarisan tamat latihan Leftenan Muda dan Laskar Muda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kes berkenaan.
Sementara itu, Saifuddin berkata permohonan dibuat ibu Zara, Noraidah Lamat, untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan inkues dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang.
“Itu adalah inisiatif ibunya melalui peguam mereka. Pihak polis memberi tumpuan kepada aspek siasatan dengan menjalankan tanggungjawab memanggil saksi, melengkapkan kertas siasatan, mengenal pasti elemen penting dan menentukan sama ada wujudnya motif dalam kes ini,” katanya.







