
KUALA LUMPUR – Kualiti udara negara pada hari ini didapati merosot dengan 29 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat manakala 38 kawasan lagi berada pada tahap sederhana, setakat jam 2 petang tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, peningkatan kawasan yang mencatat IPU tidak sihat disebabkan oleh pergerakan asap jerubu dari pelbagai arah.
“Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteological Center (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 24 Ogos lalu dan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20.
“Terdapat 287 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan, 65 titik panas dikesan di Sumatera dan 11 titik panas dikesan di dalam negara iaitu dua di Johor, lapan di Sarawak dan satu di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azuri Azizah menjelaskan, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC pada semalam, menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan.
“Kecuali hujan yang berlaku terutamanya di bahagian utara Borneo dan Sumatera serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.
“Kelompok titik panas terpencil hingga bertaburan dikesan terutamanya di beberapa kawasan Kalimantan serta bahagian selatan dan tengah Sumatera. Beberapa titik panas turut dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan,” ujarnya.
Katanya, jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara menuju bahagian barat Sarawak.
“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan di bahagian lain Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.
“Kepulan asap setempat ringan hingga sederhana turut diperhatikan berpunca daripada titik panas di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, Kepulauan Riau dan Pulau Bangka-Belitung,” ujarnya.

Azuri Azizah menyatakan, beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian barat Sarawak, bahagian barat Semenanjung Malaysia serta bahagian selatan dan tengah Sumatera merekodkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat hingga sangat tidak sihat.
“Keadaan sebenar titik panas dan jerebu di rantau ini tidak dapat ditentukan sepenuhnya berikutan litupan awan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara,” katanya.
Tambahnya, semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah-langkah untuk mencegah.
Foto Putrajaya: Astro Awani






