
KOTA KINABALU – Sabah terus mengorak langkah sebagai hab baharu industri hiliran rumpai laut menerusi pelancaran awal Seadling, sebuah syarikat pemprosesan rumpai laut berteknologi tinggi yang berpusat di negeri ini.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, penubuhan Seadling membuka peluang Sabah untuk menerajui industri bioteknologi rumpai laut di peringkat global.
“Pelancaran awal Seadling hari ini merupakan detik yang membanggakan bagi Sabah ketika kita terus memperluas keupayaan industri negeri.
“Visi Seadling dalam mengubah rumpai laut tropika kepada bahan berfungsi berprestasi tinggi bukan sahaja bersifat inovatif, tetapi juga membuka peluang besar untuk Sabah menerajui industri bioteknologi rumpai laut di peringkat global,” kata Phoong.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis pelancaran awal Seadling di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini pada Selasa.
Phoong teruja terhadap pendekatan inovatif Seadling dalam memanfaatkan sumber semula jadi negeri ini.
“Penubuhan Seadling di sini adalah contoh terbaik bagaimana kita boleh menukar bahan mentah kepada produk bernilai tambah.
“Seadling memfokuskan kepada produk seperti cecair dan serbuk rumpai laut terfermentasi yang kini telah dieksport ke negara seperti Amerika Syarikat, Singapura dan India serta sedang merancang untuk menembusi pasaran Eropah dan China sekali gus membuktikan potensi global sumber semula jadi Sabah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan industri berasaskan sumber asli Sabah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Seadling, Simon Davis pula menekankan potensi besar Sabah dalam penternakan rumpai laut.
Katanya, meskipun rumpai laut di rantau ini berkualiti tinggi, namun kebanyakannya masih dieksport dalam bentuk mentah dan diproses di luar negara menjadi produk bernilai rendah seperti jeli karagenan.
Justeru itu, Simon berkata, Seadling komited mengubah landskap industri tempatan melalui penyelesaian inovatif sepanjang rantaian nilai, termasuk pembangunan benih rumpai laut dan pemprosesan canggih, bagi menghasilkan produk bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada petani dan komuniti setempat.
Majlis berkenaan turut dihadiri pelabur antarabangsa dari Amerika Syarikat, Singapura dan Jepun yang menyatakan minat tinggi terhadap potensi industri rumpai laut Sabah.





