
JANGAN gelar diri itu ulamak lah, malu ulamak, bidas Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai tindakan pemimpin Pas Zulkifli Ismail yang tergamak membaca doa Qunut Nazilah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, doa yang dibaca Ahli Parlimen Jasin dalam himpunan Turun Anwar adalah tidak beradab dan tidak menunjukkan sikap ulamak yang sebenar.
“Dia menggelarkan diri dia sebagai ulamak. Ulamak ini sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada kaum muslimin dan juga yang bukan Islam betapa ulamak ini perlu beradab dengan ilmu dia.
“Anwar ini orang Islam. Yang patut kita guna doa itu (Qunut Nazilah) ialah kepada orang yahudi laknatullah yang bunuh orang Islam, Zionis. Kau bawa doa ini kepada perhimpunan demokrasi yang Anwar bagi ruang berhimpun, tiba-tiba kau baca doa yang tidak beradab ini kepada Allah, tak beradab dengan syariah, buat fitnah tu usah kira lah. Bagi saya jangan gelar diri ulamaklah. Malu ulamak. Bukan dia seorang tahu tentang Islam, orang lain pun tahu juga,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Mujahid yang juga Timbalan Presiden Amanah berkata, ,meskipun Zulkifli mendakwa Qunut Nazilah yang dibaca pada hari perhimpunan itu bukan dituju khas kepada sesiapa, tetapi semua orang boleh faham apa niat beliau yang sebenar.
“Ini bukan pertama kalilah, sebelum tu dia pernah doa qunut nazilah di Parlimen di ceramah, walaupun dia boleh kata doa ini bukan ditujukan kepada Perdana Menteri, tapi perhimpunan baru-baru ini sangat jelas. Himpunan Turun Anwar kan, jadi doa itu kalau bukan untuk Anwar, kepada siapa lagi?
“Sangat melampau dan tidak beradab. Adab doa kepada pemimpin Islam ialah berdoa untuk dia perbaiki kelemahan, dipermudahkan urusan. Bukan kita berdoa nak hancurkan dia, musnahkan dia. Bahaya doa macam itu. Tindakan MP Jasin ini bagi sayalah sangat tidak beradab dan sangat tidak mengikut syariat yang diajar kepada kita umat Islam,” katanya.
Himpunan Turun Anwar yang berlangsung Sabtu lalu, Zulkifli telah membaca doa Qunut Nazilah yang turut diaminkan oleh ribuan peserta himpunan. Berikutan itu, beliau telah menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk netizen di media sosial.
Ditanya mengenai tujuan bacaan doa Qunut Nazilah yang kini menjadi trend pembangkang untuk tujuan kepentingan politik dan kuasa, Mujahid berkata, pembangkang terutamanya Pas telah ‘menunggang’ doa ini untuk terus mendapat sokongan pengikut mereka.
“Itu namanya tunggang agama, orang lain pun ikut amin, amin, amin. Amin apa? Mereka mengaminkan kepada seorang pemimpin yang bagi pada merkea kebaikan, mereka aminkan doa supaya Allah hancurkan dia (Anwar), supaya Allah potong kepala dia. Mereka faham tak doa itu?
“Kita dalam Islam diajar adab-adab berdoa. Secara asasnya adab berdoa ini ialah berdoa kepada kebaikan. Untuk doa pemimpin pun ada. Bukan tiada tapi doa itu dibuat secara umum untuk kebaikan. Contohnya doa pada setiap hari Jumaat yang khatib doakan itu.
“Dalam keadaan himpunan itu, apa benda yang melayakkan doa itu dibaca dan diaminkan beribu-ribu orang yang tidak tahu pun makna apa. Doa itu yang kita baca untuk umat Islam yang tertindas di Palestin yang dizalimi Zionis.
“Salah satu ilmu ulamak ialah mengetahui adab-adab berdoa. Bila nak pakai doa itu, kepada siapa nak diturunkan doa itu. Di Malaysia ini doa itu kita baca untuk Palestin. Qunut Nazilah untuk rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi.
“Di Malaysia, mana ada umat Islam yang dizalimi di sini, apa yang Anwar telah buat kepada umat Islam di Malaysia sampai nak doa begitu,” soalnya.






