
PEMERHATI politik, Raggie Jessy Rithaudeen, menyifatkan desakan pembangkang agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan hanyalah drama politik yang tidak berasaskan perancangan konkrit, sebaliknya bertujuan untuk mengekalkan sokongan dalam kalangan penyokong sedia ada.
Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam satu majlis di Pulau Pinang malam semalam, yang mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen sekiranya mereka benar-benar ingin menurunkannya sebagai Perdana Menteri.
Menurut Raggie, cabaran itu bukan kali pertama dibuat oleh Anwar, namun pembangkang masih gagal mengemukakan sebarang usul seumpamanya. Sebaliknya, pembangkang memilih untuk mengadakan perhimpunan bertemakan “Turun Anwar”, walaupun tiada asas kukuh untuk menggugat kedudukan kerajaan.
“Awak ajak rakyat turun padang untuk desak Anwar letak jawatan, sedangkan awak tahu Anwar tidak akan turun dengan sendiri. Jadi, perhimpunan itu sebenarnya ditujukan kepada siapa?” soal Raggie dalam siaran langsung di media sosialnya.

Dia turut menegaskan bahawa jika Anwar meletakkan jawatan, seluruh kerajaan akan tumbang secara automatik, termasuk barisan Kabinet.
“Ramai tidak sedar bahawa jika Perdana Menteri meletakkan jawatan, seluruh kerajaan akan terbubar. Ini bukan soal tukar individu semata-mata,” jelasnya.
Raggie turut membidas pembangkang yang menurutnya sudah kehabisan isu selepas krisis kehakiman diselesaikan.
Mengulas lanjut, dia berkata, pembangkang kini dilihat menggali semula isu-isu lama berkaitan kelemahan kerajaan bagi menarik perhatian rakyat, walaupun hakikatnya prestasi kerajaan, menurut beliau, menunjukkan beberapa pencapaian positif termasuk dalam bidang ekonomi dan pengiktirafan antarabangsa.
Raggie menganggap tindakan pembangkang menganjurkan perhimpunan sebagai langkah terdesak setelah kehilangan sedikit sokongan dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) terdahulu, walaupun situasi semasa negara dilanda pelbagai cabaran seperti kenaikan kos sara hidup.
“Perhimpunan ini bukan untuk yakinkan Anwar atau MP, tetapi lebih kepada nak kekal relevan dalam kalangan penyokong sendiri. Mereka tahu mereka keciciran penyokong,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia mempersoalkan kejujuran pembangkang yang menurutnya kini menjulang semula tokoh yang mereka sendiri pernah tolak, semata-mata untuk menunjukkan kononnya wujud kesepakatan demi menjatuhkan Anwar.
“Tiba-tiba Tun Mahathir kembali jadi watak penting dalam gerakan mereka, sedangkan dulunya ditendang keluar dari parti sendiri. Ini bukti betapa terdesaknya mereka,” tegas Raggie.
Menjawab reaksi penyokong pembangkang yang mempertikai dapatan Merdeka Center, Raggie menegaskan bahawa badan yang sama sebelum ini juga digunakan oleh pembangkang untuk menyokong populariti pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kalau dulu percaya Merdeka Center masa kata Muhyiddin popular, sekarang pun kena terima bila data sama tunjuk Anwar makin diterima rakyat,” ujarnya.
Raggie menutup ulasannya dengan menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan permainan persepsi yang dimainkan oleh pembangkang, sebaliknya menilai politik negara secara rasional dan berdasarkan fakta.
“Saya bukan minta orang jangan sokong pembangkang, itu hak masing-masing. Tapi saya cuma nak buka mata, bahawa perhimpunan ini sekadar sandiwara yang tidak memberi sebarang impak ke arah perubahan kerajaan,” katanya.






