Tetap sama, kadar parkir di Selangor tidak naik

KADAR parkir di Selangor tidak berubah meskipun sistem Smart Intelligent Parking (SIP) dilaksanakan bermula Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Ng Suee Lim yang berkata, pelaksanaan SIP bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan pengurusan tempat letak kereta melalui sistem digital dan kecerdasan buatan (AI) sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap penguatkuasaan manual.

Menurutnya, syarikat konsesi yang bakal dilantik akan melabur sebanyak RM200 juta, termasuk pemasangan 1,800 unit CCTV di lokasi strategik sebagai langkah pencegahan jenayah dan pemantauan penguatkuasaan.

“Kuasa penguatkuasaan kekal di bawah pihak berkuasa tempatan mengikut undang-undang sedia ada, manakala pihak konsesi akan mengendalikan operasi teknikal dan khidmat pelanggan.

“Kerjasama ini dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja berlebihan sambil memperkenalkan pendigitalan dan penguatkuasaan berasaskan AI,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, semalam.

Suee Lim berkata, sebarang kenaikan kadar parkir pada masa depan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri dan persetujuan pihak berkuasa tempatan.

Jelasnya, perjanjian konsesi akan dimeterai antara pihak berkuasa tempatan, anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd, dan pihak konsesi.

Perkara ini berbeza daripada kenyataannya pada 9 Julai lalu ketika mengumumkan penswastaan sistem parkir majlis melalui SIP. 

Suee Lim memaklumkan bahawa dalam pelaksanaan baharu itu, MBI telah melantik Rantaian Mesra untuk melaksanakan SIP, dengan hasil kutipan parkir diagihkan seperti berikut: 10 peratus kepada MBI, 40 peratus kepada pihak berkuasa tempatan dan 50 peratus kepada Rantaian Mesra.

Fasa pertama dijadual bermula 1 Ogos, melibatkan empat pihak berkuasa tempatan: Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, dan Majlis Perbandaran Selayang.

Antara objektif utama sistem ini adalah untuk meningkatkan kadar pematuhan parkir, yang kini hanya sekitar 30 peratus, serta mengurangkan isu seperti parkir berganda dan kekurangan penguatkuasaan.

Suee Lim berkata idea pelaksanaan SIP ini diinspirasikan daripada model pengurusan sisa negeri yang dikendalikan oleh KDEB Waste Management, anak syarikat MBI, selepas bertahun-tahun prestasi lemah oleh kontraktor terdahulu.

“Kita mahu melaksanakan pendekatan yang sama seperti pengurusan sisa. Lebih tujuh tahun lalu, kutipan sampah dikendalikan oleh Alam Flora dan Hebat Abadi, tetapi masalah terus berlaku.

“Akhirnya, kita wujudkan konsesi KDEB Waste Management dan lantik mereka untuk urus kutipan sampah di semua pihak berkuasa tempatan. Ini model yang ingin kita guna untuk parkir, di mana MBI turut berperanan dalam pengurusannya,” katanya.

Related Posts

Isu jalan rizab BSI-Ranggu: Penduduk mahu laluan dibuka untuk kecemasan, urusan harian

TAWAU – Penduduk di sekitar kawasan Ranggu, di sini, mendesak agar jalan rizab (road reserve) yang ditutup menghubungkan Bandar Sri Indah (BSI)-Ranggu (PR1MA) dibuka semula bagi memastikan kelancaran akses kecemasan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penduduk beri tempoh sebulan pemaju buka jalan rizab BSI-Ranggu

TAWAU – Penduduk memberikan tempoh selama sebulan kepada pihak pemaju Hap Seng Development Properties Sdn Bhd untuk membuka dan membuat semula jalan rizab (road reserve) yang didakwa ditutup sejak 2020…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar mahu rundingan PH-BN elak pertembungan di Johor

Anwar mahu rundingan PH-BN elak pertembungan di Johor

JS-SEZ bukti keberkesanan dasar ekonomi MADANI

JS-SEZ bukti keberkesanan dasar ekonomi MADANI

Isu jalan rizab BSI-Ranggu: Penduduk mahu laluan dibuka untuk kecemasan, urusan harian

Isu jalan rizab BSI-Ranggu: Penduduk mahu laluan dibuka untuk kecemasan, urusan harian

Anwar tegaskan PH akan pertahan semua kerusi pada PRN, PRU

Anwar tegaskan PH akan pertahan semua kerusi pada PRN, PRU

PH utamakan kestabilan politik, bukan perebutan kuasa – Anwar

PH utamakan kestabilan politik, bukan perebutan kuasa – Anwar

Kerajaan MADANI komited bela nasib rakyat tanpa kira musim – Anwar

Kerajaan MADANI komited bela nasib rakyat tanpa kira musim – Anwar