Buli siber ancaman baharu kedaulatan negara

PUTRAJAYA – Ancaman buli siber bukan lagi sekadar jenayah komunikasi, namun merupakan serangan psikologi yang mampu menggugat kestabilan negara, keselamatan sosial serta hubungan diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pemerhati keselamatan siber dan geopolitik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, ancaman bersifat halimunan itu kini menjadi antara bentuk serangan psikologi paling berbahaya kerana mampu menimbulkan ketegangan sosial dan tekanan emosi sehingga membawa kepada kematian.

Menurutnya, insiden buli siber tidak hanya membabitkan remaja atau pengguna media sosial semata-mata, malah memiliki kemampuan dieksploitasi oleh pihak luar untuk mencetuskan kekacauan dalaman sesebuah negara.

“Dalam era perang maklumat dan serangan kelabu, buli siber bukan lagi isu peribadi atau moral, tetapi boleh digunakan kuasa luar sebagai alat manipulasi politik demi mencetuskan ketegangan kaum, perpecahan ideologi, dan menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi negara hingga beri kesan besar pada kestabilan negara.

“Serangan siber yang berbentuk peribadi tetapi meluas boleh menyebabkan keresahan awam, pembunuhan karakter terhadap pemimpin, dan manipulasi persepsi semasa pilihan raya. Sekiranya tidak ditangani, buli siber berisiko digunakan dalam bentuk serangan psikologi terhadap rakyat Malaysia.

“Ini seperti berlaku di Amerika Syarikat apabila kuasa asing dituduh pengaruh proses pilihan raya melalui penyebaran maklumat palsu di media sosial. Malaysia tidak kebal terhadap taktik ini, khususnya apabila sistem pemantauan dan penguatkuasaan dalam talian masih berada pada tahap permulaan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.

Nur Ashikin berkata, isu tersebut perlu dipandang sebagai cabaran diplomatik dan keselamatan serantau yang serius, memandangkan ia mampu menjejaskan kedudukan negara dalam indeks keselamatan siber global dan persepsi pelabur asing.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, wujud keperluan untuk kerajaan menggubal Akta Anti Buli Siber Nasional, merangkumi aspek perlindungan mangsa, hukuman terhadap pelaku, serta mekanisme pelaporan dan pemadaman kandungan secara pantas dengan kerjasama syarikat penyedia platform media sosial.

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang diguna pakai ketika ini tidak cukup ampuh menangani bentuk buli siber moden yang semakin kompleks dan berulang, apatah lagi jika pelakunya berada di luar negara. Korea Selatan dan Singapura jauh lebih ke hadapan apabila masing-masing memperkenalkan undang-undang khas bagi menangani gangguan dalam talian secara menyeluruh.

“Korea Selatan, contohnya, menggubal undang-undang Sulli Law selepas kes bunuh diri melibatkan dua selebriti terkenal, Sulli (Choi Jin-ri) dan Goo Hara akibat buli siber. Singapura pula melaksanakan Protection from Harassment Act (POHA) bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku buli, termasuk dari luar negara,” katanya.

Jelasnya, kegagalan Malaysia untuk bertindak tegas boleh memberi implikasi buruk kepada kedudukan negara dalam laporan seperti Global Cybersecurity Index serta menjejaskan keyakinan pelabur digital.

“Jika pelaku berada di luar negara dan Malaysia tiada perjanjian ekstradisi atau kerjasama penyiasatan, ia akan menimbulkan isu diplomatik. Ini kelemahan yang tidak boleh dipandang ringan dalam era diplomasi digital. Akibatnya, ramai mangsa berdepan trauma emosi yang mendalam tanpa adanya sistem perlindungan atau keadilan yang jelas,” katanya.

Sementara itu, Nur Ashikin menyarankan penubuhan unit khas jenayah siber di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Interpol dan agensi antarabangsa yang akan memberi tumpuan utama kepada siasatan buli siber serta pemantauan ruang digital.

Jelasnya, Kementerian Luar Negeri perlu memperkasa diplomasi digital Malaysia melalui perjanjian kerjasama keselamatan siber dua hala dengan negara-negara utama, selain memainkan peranan aktif dalam ASEAN bagi merintis protokol bersama terhadap jenayah digital dan ekstradisi siber.

“Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula boleh memperkenalkan program literasi siber dan kesejahteraan emosi digital peringkat sekolah, IPT dan komuniti demi perkasa kecekapan masyarakat dalam mengurus tekanan serta membina ekosistem dalam talian yang lebih selamat.

“Malaysia tidak boleh terus menunggu tragedi demi tragedi berlaku sebelum bertindak. Masa untuk memperkukuh undang-undang, meningkatkan kesiapsiagaan institusi, dan memperluas kerjasama antarabangsa dalam ruang siber adalah sekarang. Bertindak segera bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik negara,” katanya.

Related Posts

Pemansuhan AUKU: Mahasiswa tidak lagi dihukum kerana bersuara

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menyokong penuh hasrat kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Ogos…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemansuhan AUKU realisasi perjuangan Anwar sejak zaman mahasiswa

PEMANSUHAN Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai realisasi perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak beliau menjadi aktivis mahasiswa. Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Polis Pahang nafi lindungi kartel dadah Genting Highlands

Polis Pahang nafi lindungi kartel dadah Genting Highlands

Pemansuhan AUKU: Mahasiswa tidak lagi dihukum kerana bersuara

Pemansuhan AUKU: Mahasiswa tidak lagi dihukum kerana bersuara

Pengeluaran jagung bijian tempatan mampu bantu stabilkan harga ayam, telur

Pengeluaran jagung bijian tempatan mampu bantu stabilkan harga ayam, telur

Program KOMPAK perkasa kompetensi ketua komuniti di Saribas

Program KOMPAK perkasa kompetensi ketua komuniti di Saribas

Pegawai Daerah perlu proaktif, berani ambil pendekatan baharu – Hajiji

Pegawai Daerah perlu proaktif, berani ambil pendekatan baharu – Hajiji

Hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk tiga sektor utama Sabah

Hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk tiga sektor utama Sabah