
AMPANG – Seorang warga emas dan anaknya ditahan selepas disyaki membunuh seorang lelaki di rumah mereka pada 22 Jun lalu, dipercayai akibat hutang.
Mangsa yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dikatakan berhutang mencecah ratusan ribu ringgit, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan jam 7.16 malam hari kejadian.
“Pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur yang dipanggil ke rumah suspek memaklumkan kematian seorang lelaki tempatan di Taman Pandan Perdana di sini.
“Polis segera ke lokasi kejadian dan pada peringkat awal, kes disiasat sebagai ‘sudden death report’ (SDR) sebelum bedah siasat dijalankan mendapati terdapat unsur jenayah.
“Siasatan lanjut kemudian mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, punca kematian akibat jangkitan kuman pada otot disebabkan kecederaan pada kulit dan tulang.
Katanya, polis menahan suspek berusia 36 dan 73 tahun – pada 26 Jun lalu – bagi membantu siasatan.
“Suspek pertama direman 14 hari bermula 27 Jun hingga 10 Julai ini manakala suspek kedua direman 13 hari bermula 29 Jun hingga 11 Julai,” katanya.



