PETRONAS Canada
PETRONAS mencapai kejayaan besar dengan pelepasan kargo gas asli cecair (LNG) pertamanya dari kemudahan LNG Canada yang baharu beroperasi di Kitimat, British Columbia (B.C.), Kanada.
Penghantaran ke Jepun itu menerusi kapal LNG Puteri Sejinjang yang mempunyai kapasiti 174,000 meter padu, menandakan peristiwa penting bagi pelaburan Petronas di Kanada.
Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif (Perniagaan Gas dan Maritim) Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, pelayaran kargo pertama Petronas adalah kemuncak ‘ketabahan selama bertahun-tahun’ untuk merealisasikan visi bagi eksport LNG Canada ke rantau Asia Pasifik.
“Kami bertuah untuk memperingati detik ini bersama LNG Canada, rakan usaha sama kami yang lain, Haisla Nation, komuniti Kitimat dan rakyat Kanada secara keseluruhannya.
“Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada projek pertama seumpamanya di Kanada,” katanya dalam satu kenyataan.
Direka untuk menjadi antara kemudahan eksport LNG dengan pelepasan terendah di seluruh dunia, LNG Canada menampilkan turbin gas cekap tenaga, sistem pengesanan dan pengurangan kebocoran metana termaju dan sumber kuasa dari grid BC Hydro, yang dikuasakan terutamanya oleh tenaga hidroelektrik dan boleh baharu.
Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG yang boleh dipercayai, dengan LNG Canada berfungsi sebagai tambahan strategik kepada rangkaian bekalan globalnya yang semakin berkembang.
Dengan pegangan ekuiti 25 peratus dalam projek itu, menerusi entiti milik penuh North Montney LNG Limited Partnership, LNG Canada adalah komponen penting dalam strategi LNG global Petronas untuk mempelbagaikan portfolio bekalannya dan meningkatkan fleksibiliti pasaran.
Terletak secara strategik di pantai barat Kanada dan disambungkan kepada aset gas huluan Petronas di Northeast B.C., LNG Canada menawarkan koridor perkapalan langsung dan cekap ke pasaran utama Asia Utara termasuk Jepun, Korea Selatan dan China.

