PERTUBUHAN Pendidikan Intelek Warga Terengganu (Intelek Terengganu) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu berkaitan institusi kehakiman seperti yang disentuh dalam kenyataan media Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, semalam.
Menurut Setiausaha Intelek Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, pihaknya berpandangan bahawa institusi kehakiman merupakan satu badan yang amat penting serta mempunyai kedudukan yang tinggi dan dihormati dalam sistem pentadbiran negara.
“Sehubungan itu, sebarang isu atau perbincangan berkaitan institusi kehakiman negara hendaklah berasaskan fakta yang sahih, bukan berlandaskan persepsi semata-mata yang dibentuk oleh mana-mana pihak, termasuk ahli politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Hari ini, AGC dalam satu kenyataan menegaskan tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan, khususnya jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
AGC memaklumkan, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman.
Ahmad Nadhir menegaskan bahawa integriti institusi kehakiman perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan kerana institusi ini merupakan tunjang kepada sistem keadilan untuk rakyat.
“Institusi kehakiman bukan sahaja melaksanakan undang-undang, malah menjadi benteng utama dalam memastikan keadilan ditegakkan tanpa pengaruh luar,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh lapisan masyarakat agar lebih berwaspada dan berhemah dalam menanggapi sebarang isu berkaitan kehakiman.
Katanya, rakyat perlu merujuk kepada sumber fakta yang sahih dan tidak terpengaruh dengan persepsi atau tanggapan yang salah yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kehakiman.
“Intelek Terengganu komited untuk menyokong usaha memperkukuh integriti dan kredibiliti badan kehakiman negara selaras dengan kedudukannya sebagai institusi teras dalam menjamin keluhuran undang-undang dan prinsip keadilan,” katanya lagi.
Pada Isnin, Rafizi bersama beberapa wakil rakyat PKR mengadakan sidang media menuntut satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.
Berhubung kenyataan bahawa mesyuarat JAC dipanggil tanpa notis yang mencukupi menurut seksyen 13(2) Akta 695, AGC menjelaskan, JAC boleh mengawal selia prosedurnya sendiri.


