PMX perkukuh hubungan diplomasi buat negara, bukan ‘jalan-jalan’ seperti dakwaan pembangkang

PUTRAJAYA – Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menyangkal dakwaan tuduhan segelintir pembangkang bahawa lawatan rasmi dibuat pemimpin negara itu hanyalah sekadar ‘jalan-jalan’.

Beliau berkata, lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaksana bagi membawa agenda besar termasuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia.

“Tuduhan segelintir pihak itu bukan sahaja mencerminkan kepimpinan berminda kecil, sebaliknya ia menunjukkan kebebalan dalam memahami impak kekalutan geopolitik dan geoekonomi yang sedang melanda dunia terhadap rakyat serta negara.

“Bermula dengan asas untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, sehinggalah memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).

“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh. Nasihat saya kepada tokoh berminda kecil dalam blok pembangkang ialah fahami dan kenali rakyat dengan lebih baik,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, di bawah kepimpinan MADANI, dunia kembali memandang Malaysia sebagai rakan yang berprinsip, stabil dan berpotensi.

Menurutnya, pelaburan berbilion ringgit, pemeteraian perjanjian strategik dan penyertaan aktif Perdana Menteri di platform ekonomi dan diplomatik bertaraf dunia membuktikan keberkesanan dasar luar negara.

“Sebaliknya, semasa era pentadbiran gerombolan mereka, citra negara tidak terkehadapan. Akuilah hakikat ini yang terserlah dalam lipatan sejarah krisis politik negara.

“Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu sejak Kerajaan MADANI memandu negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan memaklumkan, inisiatif diplomasi ekonomi yang dipimpin Perdana Menteri membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu yang strategik, antaranya dalam meluaskan akses pasaran menerusi penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU).

“Ia juga membuka ruang terhadap pemeteraian FTA dengan negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA). Langkah proaktif Malaysia membuahkan hasil dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang diluluskan, iaitu sebanyak 14.9 peratus dengan nilai berjumlah RM378 bilion.

“Selain itu, prestasi perdagangan juga mencatat pertumbuhan dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion, peningkatan 9.2 peratus pada tahun 2024. Pendekatan proaktif ini amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan nisbah dagangan kepada KDNK mencecah 130 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Farhan menyakini masyarakat awam kini lebih bijak menilai dan tidak mudah diperdaya supaya termakan dengan permainan herotan persepsi.

“Rakyat lebih bijak menilai siapa yang bekerja untuk negara dan siapa yang hanya tahu menabur tohmahan, menyemai kebencian dan bermain ‘politik tanpa hikmah’,” katanya.

Perdana Menteri kini berada di Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS dari Sabtu lalu hingga hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri juga mengadakan lawatan kerja ke Itali dan Perancis.

Related Posts

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan semangat serta nilai Rukun Negara dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Empat sekeluarga maut, seorang tercampak atas bumbung kereta dalam nahas lima kenderaan

Empat sekeluarga maut, seorang tercampak atas bumbung kereta dalam nahas lima kenderaan

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi