
KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Kesan 4.0 bermula 1 Julai sebagai langkah pemantauan terhadap sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.
“Dari segi objektif kepada OPS kesan ini pertama adalah kita memfokuskan kepada pemantauan ke atas perniagaan yang dilihat melaksanakan pergerakan harga barangan dan juga perkhidmatan tanpa asas.
“Keduanya, adalah untuk kita menguatkuasakan perundangan yang sedia ada Iaitu AKHAP.
“Ketiga adalah untuk kita meningkatkan tahap pematuhan kalangan peniaga di setiap rantaian pengeluaran, pengedaran barangan dan juga penyedia perkhidmatan,” katanya dalam sidang media, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini pada Isnin.

Menurut Armizan, operasi itu akan menyasarkan syarikat-syarikat yang disenaraikan sebagai pengutip SST oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Jika ada syarikat mengumumkan kenaikan harga, namun semakan menunjukkan ia bukan syarikat berdaftar bagi pelaksanaan SST, maka tindakan akan diambil,” katanya.
Tambah beliau, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Ops Kesan 4.0, KPDN akan menggerakkan tiga pendekatan utama.
“Antaranya, melaksanakan pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan termasuk penggunaan data harian yang dikumpul oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN.
“Kita juga akan memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan menggalakkan partisipasi awam menerusi pelaksanaan KITA GEMPUR – Gerakan Membanteras Manipulasi Ketirisan.
“Selain itu, Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan turut ditetapkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan harga, caj dan bekalan,” jelasnya.
Armizan turut menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Bagi individu yang disabitkan kesalahan kerana pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 ataupun tiga tahun penjara atau kedua-duanya, manakala untuk syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.
“Jadi kita akan bertegas dalam hal ini untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan membuat kenaikan atau pergerakan harga secara tidak wajar,” ujarnya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasa KPDN di talian 03-8882 6245 / 0688, WhatsApp 012-6654292, Portal e-Aduan KPDN (http://eaduan.kpdn.gov.my), talian bebas tol 1800-886-800 atau aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN.




